Selasa, 31 Mei 2016

Zahid bertegas Rosli dipecat dari Umno jika jadi calon bebas

BERNAMA
 
 
Syed Rosli Syed Harman JamalullailSyed Rosli Syed Harman JamalullailAnggota Pemuda UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail akan dipecat daripada parti sekiranya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti menegaskan tindakan itu adalah selaras dengan dasar parti yang sudah termaktub selama ini.

"Dia (Syed Rosli) berhasrat begitu, tetapi secara demokrasi kita tak boleh halang sesiapa.

Kalau seseorang itu bertanding (mewakili) parti selain mewakili UMNO dan Barisan Nasional maka, harga yang terpaksa dibayar adalah beliau kehilangan keanggotaan. Itu pasti.

"Itu memang dasar Lembaga Disiplin (UMNO) iaitu sesiapa yang bertanding (dan) bukan diwatikahkan oleh Presiden UMNO dan Pengerusi BN (Barisan Nasional), secara automatiknya dipecat," jelas beliau.

Timbalan perdana menteri memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia di sini pada Selasa. Beliau dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak Ahad.

Syed Rosli, penolong setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Taman Cempaka, mengumumkam di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas kerana kecewa dengan keputusan BN berhubung pemilihan calon.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calonnya pada PRK itu.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun ini.

Tiada ulasan: