Ahad, 29 Mei 2016

RUU Hudud: Tiong Lai akan jumpa Najib minta pencerahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.  
 
Katanya, rang undang-undang yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Khamis lalu menimbulkan kekeliruan komuniti Cina kerana menganggapnya hukum hudud. 
 
"Saya akan menemui Perdana Menteri dalam tempoh terdekat untuk membincangkan RUU itu dan kemudian menjelaskannya kepada komuniti Cina. 
 
"Kami bukan panik tetapi serius terhadap perkara itu agar tidak dilaksanakan kerana berpandangan ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan dan atas semangat permuafakatan dalam Barisan Nasional (BN)," katanya di sini, hari ini. 
 
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) di Wisma MCA, di sini. 
 
Mengenai peletakan jawatan Datuk Dr Leong Yong Kong sebagai Timbalan Pengerusi MCA Kedah dan EXCO Kedah sebagai bantahan terhadap pembentangan RUU itu, Tiong Lai berkata, setakat beliau belum dimaklumkan mengenainya. 
 
"Sepatutnya dalam keadaan sekarang, tidak timbul isu peletakan jawatan, sebaliknya kita bersatu menentang RUU itu agar tak diluluskan di Parlimen kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan," katanya
 
 

Tiada ulasan: