shahbudindotcom
Berbanding
pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN di Sungai Besar yang
tidak menimbulkan banyak isu, kecuali kedudukannya yang sudah menjadi
Adun sedikit dipertikaikan, tetapi keputusan mencalonkan Mastura Mohd
Yazid untuk bertanding di Kuala Kangsar dilihat sebagai pemilihan
terburuk sepanjang sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan.
Bukan
saja kedudukannya sebagai balu Wan Khairil Wan Ahmad yang baru
meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak menjadi pertikaian
kerana seolah-olah kerusi Ahli Parlimen merupakan harta warisan keluarga
yang boleh difaraidkan, malah pemilihannya juga menggambarkan tiada
yang layak di kalangan pimpinan UMNO bahagian Kuala Kangsar yang selama
ini merekalah bersengkang mata dan banyak berkorban membawa obor
perjuangan.
Lebih
memburukkan lagi ialah kerana Mastura juga didapati ahli dan Ajk UMNO
cawangan Chembong, dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.
Sudahlah
pimpinan UMNO bahagian diketepikan, anak tempatan Kuala Kangsar dan
anak kelahiran Perak juga nampaknya turut tidak dijadikan pertimbangan.
Semua
ini memungkinkan berlakunya rasa tidak puas hati, sabotaj, memulaukan
kempen, tidak turun mengundi dan sebagainya daripada kelompok UMNO
sendiri.
Ditambah
lagi kedudukan Mastura yang masih dalam edah dan tidak boleh keluar
rumah untuk berkempen serta bertemu pengundi, pemilihan beliau sebagai
calon benar-benar kelihatan cacat serta menjejaskan peluang untuk meraih
kemenangan.
Sedikit
sabotaj atau tidak turun mengundi daripada kelompok yang rapat dengan
UMNO Bahagian Kuala Kangsar saja sudah memadai untuk memungkinkan BN
kecundang kepada pihak lawan pada 18 Jun nanti, lebih-lebih lagi
kemenangan pada 2013 lalu hanyalah 1,082 undi sahaja.
Kekalahan
BN di Kuala Kangsar tidak dapat dielakkan akan memberi kesan buruk
kepada imej Najib yang sudah sedia dibelit dengan pelbagai isu
kebelakangan ini.
Najib
sendiri diketahui amat mengharapkan kemenangan di Kuala Kangsar dan
Sungai Besar, tidak saja untuk menjadi sedikit penawar bagi memulihkan
imejnya, tetapi juga sebagai persediaan memacu persaingan dalam PRU 14
akan datang.
Malangnya, semua harapan Najib itu akan musnah jika BN kalah sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar atau di kedua-duanya.
Lebih
mengaibkan jika kekalahan itu hanyalah disebabkan pemilihan calon yang
tidak cermat dan tidak tepat sehingga timbul terlalu banyak isu yang
akhirnya pengundi membuat keputusan tidak memberikan undi mereka.
Berdasarkan
respon awal daripada beberapa pihak di Kuala Kangsar, isu utama di
kalangan UMNO ialah berkaitan pemilihan calon. Isu-isu lain hampir tidak
berbangkit sama sekali.
Ramai
yang menolak dan tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura atas
kedudukannya sebagai balu wakil rakyat terdahulu dan mereka mahukan anak
tempatan atau sekurang-kurangnya orang Perak juga sebagai calon.
Pemilihannya
sebagai calon yang pada awalnya dijangka mampu meningkatkan rasa
simpati pengundi, kini beransur-ansur membesar dengan bayangan perasaan
tidak puas hati, marah, kecewa dan luka sehingga harapan untuk menang
semakin jauh daripada gapaian.
Kekalahan
BN tentu saja akan menjadikan kedudukan Najib terus dilemahkan
menjelang pilihanraya akan datang, sama ada melalui serangan pembangkang
yang bergabung bersama Tun Mahathir atau dengan kemungkinan munculnya
gerakan daripada dalam UMNO sendiri.
Dalam
soal ini, Mastura harus ada pertimbangan yang rasional dan tidak
membiarkan dirinya menjadi penyebab untuk menjadikan kedudukan seorang
Perdana Menteri terus dilemahkan.
Jika
dahulu beliau selalu menemani Wan Khairil untuk berkempen dan bertemu
pengundi dengan tujuan bahawa kemenangan suaminya akan menambah-kukuhkan
UMNO, Mastura kini sebaliknya mampu mengukuhkan UMNO dan kedudukan
Najib serta memberi lebih cahaya kepada kemenangan BN di Kuala Kangsar
dengan segera menarik diri daripada bertanding sebelum penamaan
calon pada 5 Jun depan.
Kembalikanlah
segera watikah pencalonan yang sudah diterima dan biarlah UMNO Perak
memutuskan semula calon baru yang lebih sesuai yang tidak lagi
menyebabkan timbulnya isu edah, kesukaran berkempen sehingga terpaksa
menggunakan kaedah multimedia, isu calon luar, jawatan wakil rakyat
difaraidkan, rasa tidak puas hati pengundi, kemungkinan sabotaj di
kalangan UMNO sendiri dan sebagainya.
Tanpa
semua isu dan elemen negatif itu, calon BN yang baru nanti pasti lebih
berpeluang untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar, malah tidak mustahil
dengan majoriti yang lebih baik lagi dan seterusnya mengelakkan nama
Najib dipertaruhkan untuk lebih diaib serta dijatuhkan.
Berbeza
dengan Budiman yang boleh meneruskan perjuangannya di Sungai Besar
kerana tidak banyak isu yang timbul berkaitan dirinya yang boleh
menjejaskan harapan mencapai kemenangan, Mastura sebaik-baiknya harus
melakukan sedikit pengorbanan demi masa depan UMNO dan Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan