Khamis, 26 Mei 2016

PRK Sg Besar jadi kayu ukur BN Selangor untuk PRU14

 
Ini disebabkan strategik BN yang telah dilakukan sejak awal lagi bagi menghadapi PRU14


noh-omar


KUALA LUMPUR: Keputusan PRK Sungai Besar bakal menjadi penanda aras sama ada BN Selangor boleh mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengarah PRK Sungai Besar, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana BN telah merancang dan memulakan strategi sejak awal lagi untuk menghadapi PRU14.

“Kita telah buat strategi di seluruh negeri Selangor. Bukan kerana nak hadapi PRK sahaja tetapi kita sedia untuk hadapi PRU14.

“Kalau PRK (Sungai Besar) dah ada, InsyaAllah kita dapat lihat apa yang dirancang sama ada berjaya atau tidak,” katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2016 di Pusat Konvensyen Ideal Selayang hari ini.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, BN perlu memfokuskan kekuatan dalam menyusun jentera pilihan raya dan cara untuk meningkatkan penyokong BN di Parlimen Sungai Besar.

“Kita tidak kisah jika ada perlawanan dua penjuru atau tiga penjuru. Kita juga tidak melihat kelemahan atau kekuatan mereka (pembangkang).

“Jika mereka nak berebut kerusi atau siapa nak menang, biarlah. Yang penting kita tumpukan kekuatan kita,” katanya sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki yang berpendapat pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar bakal memberi kelebihan kepada parti Islam itu.

Pandangannya itu dibuat berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta trend pengundi Cina kembali menyokong BN.

Dalam pada itu, Noh juga tidak kisah jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu turun menyokong kempen pembangkang.

“Tun M nak sokong pembangkang, itu hak dia. Dia bukan ahli UMNO. Jadi tentu dia cari salah kita.

“Ini negara demokrasi. Dia nak sokong siapa biarlah, tetapi bagi kita siapa juga nak tentang BN kita akan tentang (dia),” katanya.

Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan serentak dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, disusuli pengundian awal pada 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun nanti.

Tiada ulasan: