SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah
menyerahkan kertas siasatan kes melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng, kepada Peguam Negara, petang tadi.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, dokumen yang telah
lengkap itu akan diteliti Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum membuat
keputusan untuk tindakan selanjutnya.
"Sekiranya Tan Sri Mohamed Apandi berpuas hati terhadap keterangan
kertas siasatan yang dikemukakan, maka tindakan undang-undang yang
sewajarnya akan diambil.
"Sebaliknya, sekiranya siasatan SPRM didapati tidak mempunyai
keterangan yang mencukupi, maka tiada tindakan undang-undang diambil,"
katanya.
Menurut Azam lagi, perkara tersebut adalah selaras dengan Artikel 145
Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa mendakwa adalah di tangan
Peguam Negara.
Pegawai SPRM pda Ahad lalu berkunjung ke rumah Guan Eng untuk mengambil
keterangan berhubung pembelian banglonya yang dikatakan pada harga di
bawah nilai pasaran.
Sebanyak lapan pegawai SPRM dalam tiga kenderaan dilihat masuk ke
perkarangan banglo Lim kira-kira 3 petang dan beredar kira-kira sejam
kemudian.
Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri Ramkarpal Singh berkata Guan Eng
telah diminta memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri pada 10 pagi
ini.
Pada 6 Mei lepas, Guan Eng dan isteri Betty Chew diminta memberi
keterangan di pejabat SPRM berhubung kes sama dan penjualan tanah di
Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin yang pada asalnya diperuntukkan untuk
pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan