Selasa, 17 Mei 2016

Banjir KL, SPRM bantu DBKL siasat unsur rasuah

FREE MALAYSIA TODAY


Ia mungkin melibatkan agensi lain yang turut terlepas pandang dalam sesuatu perkara, bukan hanya SPRM saja.


sprm-banjir


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di ibu kota baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya hanya akan melakukan penyiasatan jika terdapat kelemahan dalam sistem pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak betul dan mencurigakan sehingga melibatkan rasuah.

“Kita harus melihat dulu, ia mungkin melibatkan agensi lain yang turut terlepas pandang dalam sesuatu perkara, bukan hanya SPRM saja.

“Ia perlukan kerjasama semua pihak. SPRM hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aspek rasuah,” katanya selepas menandatangani Ikrar Integriti Korporat Agensi Kelayakan Malaysia dan SPRM di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Majlis tandatangan itu disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi MQA Prof Emeritus Tan Sri Dr Abu Hassan Othman.

Mustafar berkata demikian ketika mengulas kesediaan Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd untuk bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut dan tidak mendedahkan sama ada SPRM ada menerima sebarang laporan berhubung isu banjir kilat daripada DBKL.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat.-BERNAMA

Tiada ulasan: