Selasa, 17 Mei 2016

Denda RM50k jika langgar garis panduan produk langsing badan

 
Iklan yang mengandungi perkataan "detox" dibenarkan kerana CMCF jarang menerima aduan mengenai isu berkenaan.


slimming


PETALING JAYA: Pihak yang melanggar Garis Panduan Industri bagi Produk dan Perkhidmatan Pelangsingan Badan diperkenalkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) boleh dikenakan denda maksimum RM50,000.

Menurut laporan China Press, garis panduan yang diperkenalkan sejak 25 Januari lalu itu menetapkan iklan produk dan perkhidmatan pelangsingan badan tidak boleh menyatakan pengguna boleh makan tanpa had dan tidak akan gemuk, berat badan akan turun berapa kilogram atau memperbesar-besarkan kesan produk.
 
Pengarah Eksekutifnya, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan berkata, ia bertujuan mengawal selia produk dan perkhidmatan pelangsingan badan yang boleh mengelirukan pengguna melalui pengharaman iklan mengenai perkhidmatan serta produk tanpa mengambil kira ia berbentuk sapuan atau makan yang disiarkan dalam mana-mana platform media elektronik.

Tambahnya, iklan yang mengandungi perkataan “detox” dibenarkan kerana pihaknya jarang menerima aduan mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun, jika kandungannya menyentuh “boleh kuruskan” atau berat badan boleh turun berapa kilogram selepas menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan itu, maka ia dilarang sama sekali.

CMCF tidak menolak kemungkinan iklan sedemikian mungkin diharamkan kelak jika produk dan perkhidmatan membuang toksin daripada badan didapati tidak berkesan.

Garis panduan itu turut mewajibkan gambar pengguna sebelum dan selepas mengambil sesuatu produk itu perlu mempunyai spesifikasi tertentu, termasuk tidak boleh menyatakan dengan jelas kurus di bahagian mana dan perbandingan perlu dibuat secara adil.

Iklan mengenai pil multivitamin, makanan gantian bagi pelangsingan badan dan produk sukan dibenarkan selagi ia tidak menyentuh perkara mengenai menguruskan badan serta pengurangan berat badan.

Tiada ulasan: