Ahad, 13 Mac 2016

Pas gesa kerajaan lantik Gabenor Bank Negara

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim


SHAH ALAM - Pas hari ini mengingatkan kerajaan supaya melantik Gabenor Bank Negara baharu berdasarkan saranan Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hanya BNM dan gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang boleh menilai ciri dan potensi sebenar calon gabenor yang bakal dilantik.

"Semestinya BNM sendiri dan Zeti tahu siapa yang lebih layak menggantikannya dari segi kelayakan, kepintaran, kebolehan dan terutamanya mereka yang bebas politik dan berani menentang gangguan politik ke atas BNM.

"Lebih-lebih lagi, kejayaan yang dicapai BNM oleh Zeti dengan pengiktirafan pelbagai pihak sangat perlu dikekalkan, apa lagi dalam suasana negara berhadapan dengan pelbagai kemelut ekonomi serantau," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim dalam pada itu mendesak nama calon didedahkan kepada umum.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan tiada pihak yang bermain politik dalam hal tersebut.

"Mereka yang terlibat dengan politik dan pernah berkhidmat dengan kabinet di bawah Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) tidak boleh dilantik menjadi Gabenor BNM yang baru kerana ia akan menjejaskan integriti dan nama baik BNM," katanya lagi.


Tiada ulasan: