Ahad, 13 Mac 2016

Kelantan menang 3-1 tumpaskan P.Pinang

Kelantan P.Pinang
Blaze Ilijoski membuka jaringan pada minit keempat. Kedudukan 1~0 Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KELANTAN menampilkan kebangkitan drastik di sebalik konflik dalaman yang melanda pasukan itu apabila menumpaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dua gol sumbangan penyerang import Macedonia, Blazhe Ilijoski dan satu lagi menerusi kapten, Mohd Badhri Radzi memastikan skuad kendalian K Devan kembali ceria meraih kemenangan kedua di laman sendiri untuk mendaki ke tangga kelima liga.

Pulau Pinang yang melakukan sepak mula terus melancarkan serangan pantas seawal minit pertama lagi namun percubaan pemain sayap kirinya, Mohd Faiz Subri tinggi melewati pintu gol.

Bagaimanapun, Ilijoski memastikan Kelantan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila menyambar peluang terhidang setelah penjaga gol lawan, Mohamad Firdaus Muhammad gagal menangkap kemas bola hasil sepakan percuma Mohd Badhri tiga minit kemudian.

Ketinggalan 0-1, pelawat kembali mengatur serangan apabila Muhammad Jafri Firdaus Chew memperdayakan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim di dalam kotak penalti namun hantarannya gagal ditampan masuk Matias Jesus Cordoba, pada minit ke-13.

Seminit berselang, pemain paling senior dalam pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin hampir menggandakan jaringan tetapi rembatan cantiknya dari luar kotak penalti sedikit melewati palang.

Tuan rumah seharusnya selesa mendahului 2-0 pada minit ke-17 namun tampanan lemah penyerang import Mali, Dramane Troare hasil hantaran lintang Ilijoski membolehkan Mohamad Firdaus menangkap kemas percubaannya.

Pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 tetapi Muhammad Jafri Firdaus Chew yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan tuan rumah memilih untuk merembat tinggi meskipun hanya berdepan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan.

Aksi kembali mendebarkan pada minit ke-33 apabila hantaran silang Mohd Badhri tepat menuju kepada Jonatan Lucca namun tandukan pemain import dari Brazil itu sedikit serong di sebelah kiri pintu gol.

Ilijoski bagaimanapun berjaya menebus kekecewaan rakan sepasukannya itu apabila percubaan jarak jauhnya terus menerjah jaring sekali gus gagal diselamatkan Mohamad Firdaus untuk gol kedua pasukannya, pada minit ke-35.

Skuad kendalian Jacksen Tiago menyambung aksi babak kedua dengan lebih agresif bagi merapatkan jurang namun gerakan solo Muhammad Jafri Firdaus beraksi dengan kekecewaan apabila rembatannya dinafikan Khairul Fahmi, pada minit ke-49.

Ancaman berbahaya skuad yang terkenal dengan jolokan Harimau Kumbang itu hadir lagi pada minit ke-60 apabila Muhammad Jafri Firdaus melakukan hantaran lambung ke dalam kotak penalti namun percubaan Jesus Cordoba pula melewati palang.

Seminit selepas itu, tuan rumah kembali melancarkan serangan pantas tetapi Ilijoski mengecewakan hampir 7,000 penyokong setia mereka apabila rembatan kencangnya sekadar melintasi pintu gol pelawat.

Menghampiri minit ke-65, Pulau Pinang terlepas peluang untuk meraih jaringan semangat apabila kegopohan penyerang import, Osas Marvellous Ikpefua menyaksikan percubaan jarak dekatnya digagalkan Khairul Fahmi di depan gawang tuan rumah.

Kem skuad Pulau Mutiara sekali lagi hampa empat minit kemudian apabila gerakan menarik dicipta Mohd Faiz gagal disudahkan kaptennya, Muhammad Rafiuddin Rodin dalam kawasan berbahaya tuan rumah.

Apa pun, Mohd Badhri memastikan Kelantan terus unggul memimpin perlawanan apabila merembat masuk gol ketiga hasil sepakan lencong menarik pemain gantian, Wan Zack Haikal Wan Noor, pada minit ke-70.

Selesa dengan kedudukan 3-0, Devan bertindak memasukkan Mohd Farisham Ismail dan Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-71 dan 73 bagi menyuntik kekuatan baharu ketika pelawat semakin tertekan untuk memburu gol pertama mereka.

Namun begitu, semangat juang anak buah Tiago ternyata tidak mudah luntur dan Marvellous Ikpefua menghadiahkan gol sagu hati untuk pasukannya setelah menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dengan menolak masuk dari sudut sukar, lapan minit sebelum permainan tamat.

Tiada ulasan: