Keluarga dan saudara mara penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tanpa mengira warganegara mereka dinasihat mengemukakan tuntutan kepada MAS di bawah Konvensyen Montreal menjelang 8 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Malaysia sentiasa sedar bahawa keluarga atau saudara mara berkenaan perlu diberi hak perundangan seperti yang termaktub dalam instrumen antarabangsa dan undang-undang tempatan.
Beliau berkata di bawah Konvensyen Montreal, hak tuntutan kerosakan terhadap MAS akan terhapus sekiranya tindakan tidak dikemukakan dalam tempoh dua tahun dari tarikh hari pesawat sepatutnya tiba di Beijing iaitu pada 8 Mac 2014.
Seperti yang dinyatakan Malaysia Airlines sebelum ini, tempoh had masanya di bawah konvensyen itu akan berakhir pada 8 Mac 2016, katanya dalam satu kenyataan.
Liow berkata beliau telah dimaklumkan oleh MAS bahawa kurang daripada 60 peratus tuntutan pampasan telah diselesaikan berkaitan 227 penumpang dan 12 anak kapal di atas pesawat tersebut yang sehingga kini 169 keluarga telah memulakan proses pampasan akhir.
Pesawat MH370 hilang daripada radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Pesawat tersebut belum ditemui walaupun operasi mencari besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan yang dipercayai pesawat Boeing 777-200ER itu berakhir selepas tersasar daripada laluan asal.
Serpihan sayap ditemui pada Julai tahun lalu di Pulau Reunion, Perancis dan pada 6 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan ia milik MH370.
Serpihan turut ditemui di pesisir pantai Mozambique baru-baru ini yang Liow dilapor sebagai berkata ia mungkin berupa sebahagian pesawat Boeing 777.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan