CYBERJAYA: Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka
dibentang di Parlimen Mac ini, akan menyelaras penguatkuasaan dalam
menyekat laman blog yang memfitnah institusi kepimpinan negara, kata
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata turut disekat ialah artikel dan catatan dalam laman
sosial yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara serta melanggar
Akta Hasutan yang diviralkan menerusi media sosial.
"Diharapkan sebaik saja dapat kelulusan daripada Peguam Negara dan ke
muka kepada Kabinet, kalau ada kesempatan (pindaan) akan dibentang dalam
Mac," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Media Sosial
Malaysia 2016 di Cyberjaya, semalam.
Salleh berkata pindaan tersebut akan memperjelas kuasa kerajaan dalam
menguatkuasakan pelbagai akta bagi mengawal penyalahgunaan media sosial.
Ditanya mengenai blog Sarawak Report, beliau berkata walaupun laman
blog berkenaan disekat namun pengendali laman blog berkenaan menggunakan
wadah lain.
Beliau berkata pindaan yang bakal dilaksanakan membolehkan kerajaan menyekat wadah berkenaan.
"Sarawak Report terbukti asyik menyebar fitnah sahaja di mana tidak ada
asas sama sekali apa yang dilaporkan. Jika tidak berbuat demikian
(disekat) akhirnya rakyat juga akan terkeliru dengan benda-benda yang
tidak ada asas sama sekali," katanya.
Salleh berkata mesyuarat pertama jawatankuasa menangani penyalahgunaan
media sosial yang beliau pengerusikan pada Selasa turut bersetuju untuk
menyelaras tindakan penguatkuasaan dengan merujuk kepada 10 akta selain
bahagian penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, diterajui
polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan