PUTRAJAYA: Seramai 4,211 atau 67.8 peratus calon yang menduduki Sijil
Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 lulus semua 10 mata pelajaran dan
berjaya memperoleh pangkat Maqbul (Lulus) hingga Mumtaz (Cemerlang).
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan,
Datin Nawal Salleh, berkata jumlah itu adalah peningkatan 4.5 peratus
(388 calon) berbanding 3,823 calon untuk pencapaian pada 2014.
"Calon yang memperoleh sijil pangkat Mumtaz (cemerlang) pada tahun lalu
meningkat sebanyak 113 calon (1.6 peratus) iaitu 444 calon (7.1
peratus) berbanding 331 (5.5 peratus) pada 2014.
"Secara keseluruhan, pencapaian calon peperiksaan STAM 2015 menunjukkan
peningkatan sebanyak 0.12 mata Gred Purata Nasional, iaitu 3.08 mata
pada tahun lalu berbanding 3.20 mata pada 2014," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Analisis Keputusan
STAM 2015 di Kementerian Pendidikan di sini, sebentar tadi.
Seramai 8,982 calon (7,718 calon baru dan 1,294 calon mengulang)
mendaftar untuk menduduki STAM pada tahun lalu, berbanding 8,800 calon
pada 2014, iaitu bertambah sebanyak 182 calon (2.1 peratus).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan