PUTRAJAYA - Solat yang dilakukan secara pantas dan dilaksanakan secara
tergopoh-gapah adalah tidak sah menurut pandangan Mazhab Syafie, kata
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
"Tidak sah solat itu kerana tiada tamakninah menurut pandangan Mazhab
Shyafie, katanya ketika mengulas video solat tarawih yang dilaksanakan
sebanyak 23 rakaat (termasuk solat Witir) dalam masa 10 minit sahaja
yang kini viral di media sosial.
Katanya asas pelaksanaan rukun solat haruslah disertai perbuatan
tamakninah atau berhenti sejenak bagi menyempurnakan ibadah tersebut
selain membantu seseorang itu untuk khusyuk ketika bersolat.
Beliau berkata roh atau dasar solat itu sendiri adalah khusyuk dan
bukannya dilaksanakan seperti dalam bentuk perlumbaan atau
tergopoh-gapah.
"Adalah wajar untuk mengekalkan apa yang kita lakukan di Malaysia ini
dengan adanya tamakninah dan perbuatan-perbuatan solat lain yang dapat
membantu seseorang itu menumpukan perhatian ketika solat tanpa
tergopoh-gapah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Pondok Moden
Al-'Abaqirah oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil
Khir Baharom di sini hari ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan