shahbudindotcom
Perdana
Menteri Najib Razak akhirnya memulakan proses undang-undang terhadap
akhbar perniagaan, The Wall Street Journal atau WSJ berikutan laporannya
yang mendakwa terdapat kemasukan dana 1MDB berjumlah kira-kira AS$700
juta ke dalam akaun peribadinya.
Tindakan
undang-undang itu, sebagaimana dalam beberapa samannya kepada beberapa
pihak sebelum ini, turut dilakukan melalui firma Hafarizam Wan &
Aisha Mubarak, dan dihantar melalui email kepada penerbit WSJ.
Sudahlah
tindakan undang-undang diambil lewat sehari sebagaimana yang dilaporkan
sebelumnya bahawa ia akan dilakukan pada Selasa, apa yang mengejutkan
surat kepada WSJ yang dihantar pada Rabu itu, sebenarnya belum lagi
berupa tuntutan saman, sebaliknya hanya merupakan tuntutan penjelasan
saja.
Surat
peguam itu mahu WSJ menyatakan dengan jelas dan tanpa ragu-ragu sama
ada ia adalah hujahnya bahawa Najib telah menyalahgunakan dana AS$700
juta milik 1MDB.
"Kami
diarahkan untuk mendapatkan pendirian anda kerana artikel itu secara
kolektif menyarankan bahawa anda tidak pasti mengenai sumber asal dan
apa yang berlaku kepada wang itu manakala intipati umum aktikel
mewujudkan gambaran yang jelas bahawa pelanggan kami telah
menyalahgunakan wang tersebut," kata surat itu lagi.
Mereka memberi tempoh selama 14 hari kepada WSJ untuk menjawab tuntutan yang dikemukakan itu.
Sama ada Najib akan meneruskan saman atau sebaliknya bergantung kepada penjelasan yang diberi oleh WSJ nanti.
Jika
dilihat dalam artikel WSJ sebelum ini, mereka hanya menyebut mengenai
kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan tidak menyentuh sama
sekali berkaitan dengan unsur penyalahgunaan, penyelewengan atau
seumpamanya berkaitan wang tersebut.
Maknanya, WSJ hanya membangkitkan mengenai kemasukan wang dan bukannya bagaimana ianya dibelanjakan.
Tetapi
kenapa Najib mahukan penjelasan WSJ mengenai dakwaan penyalahgunaan
pula sedangkan jika benar tiada kemasukan wang ke dalam akaun
peribadinya sepertimana yang didakwa itu, saman sudah pun boleh
diteruskan?
Isunya
di sini ialah kemasukan wang dan bukannya penyalahgunaan. Apakah jika
benar ada kemasukan dan tidak disalahgunakan, ia bukan suatu kesalahan
bagi seorang Perdana Menteri?
Kenapa tidak dikemukakan saman fitnah terhadap WSJ berhubung kemasukan wang sebagaimana yang didakwa itu?
Apakah
juga tidak terus mengemukakan saman fitnah itu menunjukkan memang benar
berlaku kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib?
Lebih
mengejutkan, tiada langsung tuntutan meminta WSJ menarik balik dan
meminta maaf berhubung laporannya yang sudah disiarkannya itu.
Ternampak
di sini bahawa Najib, melalui surat peguam ini lebih bertujuan
melengah-lengahkan masa dan meredakan keresahan rakyat, terutama para
penyokongnya.
Dengan
adanya surat peguam itu, walaupun hanya tuntutan penjelasan dan
bukannya saman, akan didendangkanlah gambaran yang menunjukkan Najib
sudah memulakan langkah untuk mempertahankan dirinya daripada apa yang
dikata fitnah dan konspirasi terhadapnya.
Ada
kemungkinan juga saman tidak diteruskan jika WSJ tidak menyatakan
pendirian mengenai penyalahgunaan wang sebagaimana yang dituntut itu.
Secara
logiknya pula, memang tiada keperluan untuk WSJ menyatakan sama ada
benar atau tidak wang itu telah disalahgunakan atau sebaliknya.
Pendedahan mereka mengenai adanya kemasukan wang sudah memadai tentang
nilai moral seseorang pemimpin.
Sama
ada saman akan diteruskan atau tidak hanya akan diketahui selepas 14
hari nanti, tetapi tidaklah mengejutkan jika ianya tidak diteruskan
berikutan kegagalan mendapatkan pendirian WSJ mengenai penyalahgunaan
wang itu.
Namun
itu tidaklah penting sebenarnya bagi Najib. Yang penting surat peguam
yang sudah tersebar luas ini telah berjaya meredakan keresahan rakyat
dan para penyokong Najib untuk terus berdiri bersamanya dalam sisa-sisa
jawatannya yang kian terancam itu.
Walaupun surat itu dihantar kepada penerbit WSJ di Amerika Syarikat, tetapi sasaran sebenarnya ialah rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan