KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi jawatan Presiden MIC dijangka
diadakan pada minggu pertama Ogos manakala proses pemilihan dijangka
diadakan pada akhir bulan yang sama.
Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, tarikh
rasmi bagi kedua-dua proses masih belum ditetapkan kerana terdapat
beberapa perkara di peringkat cawangan yang perlu diselesaikan.
"Kami akan ke peringkat pemilihan yang berikutnya iaitu pemilihan bagi
jawatan presiden sebaik sahaja proses pemilihan dan rayuan di peringkat
cawangan selesai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan
Pasca Mesyuarat Pengurusan Tinggi MIC di sini, Isnin.
Beliau berkata, sebanyak 3,195 cawangan MIC seluruh negara telah
menghantar pencalonan bagi pemilihan peringkat cawangan yang diadakan
dari 10 hingga 12 Julai, dengan 250 borang yang masih dalam proses
verifikasi.
Mengulas lanjut, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata,
mereka yang ingin membuat rayuan berhubung proses pencalonan untuk
pemilihan peringkat cawangan boleh mengemukakannya kepada setiausaha
agung parti.
"Kita dah hantar borang pencalonan melalui pos laju tetapi ada yang
mengadu mereka tak terima, mungkin sama ada alamat mereka dah tukar atau
mereka tiada di rumah semasa pos laju datang.
"...dan sekiranya alasan mereka munasabah, kita akan memberi peluang
kepada mereka untuk membuat pencalonan semula," katanya, menambah rayuan
boleh dikemukakan mulai Isnin hingga Khamis.
Mengulas mengenai proses pencalonan itu, Dr Subramaniam berkata, secara
keseluruhannya beliau berpuas hati kerana proses itu berjalan lancar
selain membuktikan kematangan pemimpin-pemimpin MIC di akar umbi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan