Ahad, 19 Julai 2015

Nik Aziz paling marah orang main mercun

Mercun
Gambar Hiasan
 

SEBUT tentang sambutan Hari Raya, setiap tahun pasti kita ‘dimeriahkan’ dengan gamatnya bunyi mercun dan bunga api yang dibakar saban malam sebaik sahaja menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Di sebalik kemeriahan itu juga, kita bakal disajikan dengan pelbagai laporan berita kemalangan yang meragut kegembiraan sambutan Aidilfitri sehingga ada yang cedera di mata, tangan, kaki dan beberapa anggota badan yang lain.

Oleh sebab itulah, bermain mercun adalah antara perkara yang paling dilarang bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hayatnya sehinggakan beliau berhenti daripada menyambung ibadahnya untuk menegur siapa-siapa yang bermain mercun.

Membuka cerita, anak saudaranya yang juga pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, Allahyarham turut melihat bermain mercun itu sesuatu yang membazir.

“Antara perkara yang paling dia marah adalah main mercun. Membazir bagi dia. Sekiranya beliau sedang sembahyang tiba-tiba kedengaran bunyi letupan mercun beliau akan berhenti ketika waktu selang itu selepas bagi salam beliau akan terus tanya siapa yang main mercun? Beliau akan marah terus,” ceritanya kepada Sinar Online.

Berkongsi suasana hari raya ketika hayat Allahyarham, Ustaz Ahamd Dusuki berkata, Allahyarham Nik Aziz akan menggalakkan agar semua anak-anak kecil di kawasan rumahnya untuk ke masjid bagi melaksanakan takbir raya dan bertahmid daripada malam raya sehingga keesokan harinya.

“Mula daripada malam raya, Tuan Guru akan galakkan supaya setiap kalangan anak-anak saudara, anak-anak kecil pergi ke masjid untuk takbir hingga pagi raya. Kemudian sebelum solat sunat raya beliau akan pastikan semua ahli keluarga telah membayar zakat fitrah. Selepas itu, Tuan Guru akan layan semua anak-anak muridnya dan beraya dengan beliau.

“Apabila masuk sahaja Aidilfitri, biasanya orang-orang yang memerlukan akan datang bertemunya untuk mendapatkan wang zakat, sedekah. Beliau tidak pernah terlepas daripada memberi,” katanya.

Akui rindu dengan kelibat Allahyarham, Ustaz Ahmad Dusuki merasakan suasana rumah bapa saudaranya itu lebih ‘sunyi’.

“Beliau seorang yang suka menderma. Setiap Ramadan beliau bersama orang rumahnya akan ke pasar untuk membeli kain-kain. Kain-kain itu akan diberi kepada  anak- anak yatim dan orang miskin. Itu yang kita akan rindu dengan budaya yang diamalkan Tuan Guru.

“Memang rasa kehilangan. Dari sudut keluarga memang rasa jauh...sunyi berbanding dulu. Dulu beliau sentiasa akan ada dan kita nampak kelibatnya untuk solat jemaah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Nik Aziz sangat menggemari jubah berwarna putih untuk baju rayanya saban tahun.

Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia pada jam 9.40 malam 13 Februari lalu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan ribuan umat Islam yang datang dari seluruh negara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka pada jam 10.55 pagi, keesokannya.

Tiada ulasan: