MALAYSIAKINI
DAP akan membuat laporan polis terhadap beberapa agensi kerajaan
berhubung "konspirasi" untuk menggulingkan pembangkang lebih-lebih lagi
berdasarkan tindakan kerajaan melarang sesetengah ahli parlimen
meninggalkan negara ini.
"Saya akan membuat laporan polis terhadap Kementerian Dalam Negeri,
Jabatan Imigresen dan polis kerana menyalahgunakan kuasa serta
berkonspirasi menumbangkan pembangkang," kata Ahli Parlimen Segambut Lim
Lip Eng pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut ahli parlimen DAP itu, laporan polis dibuat kerana kerajaan
dilihat mengambil kenyataan daripada seorang bekas wartawan yang
bankrap, Lester Melanyi disusuli tindakan menghalang ahli parlimen
Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada meninggalkan negara ini.
"Saya juga akan membuat laporan polis terhadap Lester," kata Lim.
Sementara itu, Setiausaha Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo pula
memberi amaran kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya
tidak bermain-main dengan pihak pembangkang.
Gobind berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Khalid sebelum ini
yang mengatakan polis mengenalpasti pemimpin pembangkang yang bertemu
dengan warganegara Switzerland, Xavier Andre Justo.
"Berhenti bermain-main. Anda kata sebelum ini ada ahli parlimen
pembangkang yang dikenal pasti. Dan anda kata ada kemungkinan bahawa
pihak polis akan menyoal mereka.
"Sekarang, beritahu kami siapa ahli parlimen itu? Adakah Tony Pua atau ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli?
"Saya juga ingin bertanya kepada ketua polis negara, di mana beliau
mendapatkan maklumat ini dan mana buktinya memandangkan hakikatnya
bahawa pihak polis masih belum menyoal Justo," kata Gobind.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan