Oleh V Shuman
Pertelagahan dalaman Umno nampaknya semakin merebak, dengan orang nombor dua parti itu memberikan beberapa kenyataan serius terhadap cara beberapa isu sedang ditangani oleh kerajaan.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak asing lagi dengan
tindakan mempersoalkan urusan-urusan meragukan di sebalik kontroversi
1MDB. Beliau telah melakukannya sebelum ini, dan pada 26 Julai, dia
melakukannya sekali lagi – secara bersungguh-sungguh.
Ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Cheras, Muhyiddin mengulangi seruan beliau supaya tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit dengan dana itu, jika ini tidak dilakukan, "Umno dan BN akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang."
Laporan-laporan berita memetik Muhyiddin menyuarakan beberapa kebimbangan, termasuk tentang laporan Wall Street Journal (WSJ) bahawa berbilion-bilion ringgit telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi bosnya – Perdana Menteri Najib Razak.
Muhyiddin
memberitahu perhimpunan itu bahawa selepas berita itu tersebar, beliau
menghantar SMS Najib, meminta Najib untuk mengeluarkan penafian,
tetapi apa yang muncul selepas itu hanyalah penafian "rasmi" dari
Jabatan Perdana Menteri.
Beliau
mengulangi seruannya kepada Najib dan barulah perdana menteri
mengeluarkan kenyataan menafikan yang dia pernah menggunakan mana-mana
dana untuk tujuan peribadi.
Persoalan masih belum terjawab sama ada dana tersebut telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, dan tujuannya.
Muhyiddin
juga mensasarkan rakan-rakannya dalam kabinet Husni Hanadzlah dan
Abdul Rahman Dahlan, yang lantang menyokong Najib, tetapi "penjelasan
mereka gagal mengurangkan keraguan orang ramai mengenai perkara itu."
Oleh itu, semua laporan mengenai 1MDB perlu diumumkan kepada orang
ramai, katanya.
Muhyiddin juga
menggesa ahli-ahli Umno untuk menghentikan kritikan terhadap ahli
veteran parti dan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad, kerana ia hanya akan
melemahkan parti.
Walaupun tidak
mensasarkan mana-mana pihak tertentu melalui seruan ini, ianya mungkin
Najib sendiri yang baru-baru ini kerap menyerang pengkritik No. 1
beliau, Mahathir.
Perlu diingat
bahawa selama beberapa tahun, Muhyiddin telah menjawat pelbagai jawatan
kementerian, termasuk sebagai menteri besar, semasa Mahathir merupakan
PM.
Muhyiddin juga, dalam satu
kenyataan yang menentang pendirian kabinet beliau yang jarang-jarang
dapat dilihat, menyuarakan sokongan beliau terhadap penerbitan harian
perniagaan yang kini digantung The Edge, dan berkata beliau bergantung dengannya setiap hari untuk mendapatkan maklumat mengenai 1MDB.
"Orang ramai memberitahu saya yang laporan The Edge tidak betul. Jadi beritahu saya, apa yang betul," katanya.
Kenyataan
Muhyiddin itu tepat pada waktunya. Ini kerana siasatan ke atas 1MDB
nampaknya sudah terpesong, dengan kerani penghantar surat kini turut
ditahan bagi membantu siasatan.
Apa pula selepas ini? Pembancuh teh pejabat 1MDB, dan budak-budak praktikal yang dipaksa memusnahkan dokumen-dokumen penting?
Sementara
itu, ikan-ikan jerung seperti jutawan Jho Low, yang telah dikaitkan
dengan dana itu dari awal-awal lagi, tidak disentuh.
Komen
Muhyiddin juga menyindir Najib, yang belum lagi memberikan penjelasan
yang memuaskan berkenaan 1MDB, tetapi pada masa yang sama telah
menggunakan semua sumber untuk menutup mulut pengkritik dana itu.
Jadi
apa yang Abdul Rahman (Dahlan) dan Husni akan lakukan sekarang?
Mengenepikan pendapat Muhyiddin dan menuduhnya cuba untuk melemahkan
parti?
The Malaysian Insider turut melaporkan bahawa laman-laman blog pro-Umno menuduh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno cuba berkomplot menentang Najib.
Ini
menunjukkan yang keretakan ini bukan sahaja berlaku di peringkat
tertinggi parti, tetapi mungkin di
setiap peringkat. Sejujurnya, Najib
juga tidak mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi.
Dengan
semua ini sedang berlaku, adakah pemimpin-pemimpin Umno dan
ahli-ahlinya akan bersatu dan membuang 'nanah' yang sedang membusuk ini
– 1MDB?
Atau adakah mereka akan
meletakkan kepentingan mereka sendiri di atas kepentingan parti dan
berpura-pura bahawa parti itu dan negara baik-baik sahaja, dan terus
mempertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan?
Hari-hari mendatang akan mendedahkan lebih banyak jawapannya – jangan terlepas perkembangan selanjutnya.
Komen-komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis menerusi alamat shuman.v@hckmedia.com
1 ulasan:
bukn berpecah lagi dah ..hancusss terus ...
lagi cerita panas ... Jom Terjah !! >>> CLICK HERE !!<<<
Catat Ulasan