KELANA JAYA: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan merujuk
kepada Peguam Negara tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghina mahkamah
pada prosiding rayuan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 10
Februari lalu.
Pada 'Dialog Bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah' anjuran Akademi
Kepimpinan Kapten Hussein, di sini, malam tadi, katanya beliau akan
mengutus surat mengenai perkara itu kepada Peguam Negara dalam tempoh
terdekat.
Makluman itu, katanya, adalah bagi meneliti dan berbincang sama ada
Ketua Umum PKR itu yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun di
Penjara Sungai Buloh, wajar dikenakan tindakan atau tidak.
Beliau berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi mahkamah
tidak harus dianggap biasa kerana kesannya akan menyebabkan rakyat
terkeliru selain mengundang persepsi salah dan negatif terhadap badan
kehakiman.
"Kita akan lihat...saya akan berbincang nanti dengan Peguam Negara sama
ada Anwar patut dikenakan tindakan atau tidak atas sebab menghina
mahkamah," katanya yang bertindak sebagai Ketua Pendakwa Raya kes rayuan
berkenaan.
Muhammad Shafee mengulas soalan dibangkitkan tetamu berhubung tindakan
Anwar yang 'mengejutkan' mahkamah apabila mendakwa institusi itu sebagai
'rakan subahat' bagi menamatkan karier politik beliau.
Hadir sama pada program itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Naib
Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun serta beberapa EXCO pergerakan
itu .
Dialog yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri kira-kira 500 tetamu, majoritinya adalah generasi muda.
Memulakan dialognya malam tadi, Muhammad Shafee menerangkan secara
terperinci hampir 35 minit fakta kes liwat yang berlaku antara Anwar dan
bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan