KOTA BHARU - “Saya masih terbayang-bayang Tok Guru masih ada ketika
menunaikan solat di masjid berdekatan kediaman Allahyarham di Pulau
Melaka."
Itu pengalaman Zakaria Deraman, 60, atau lebih mesra dengan gelaran Pok
Ya yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi bekas Menteri Besar
Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 23 tahun sejak
1992 lagi.
Pok Ya menyifatkan Nik Aziz sebagai seorang yang tidak suka membuang
masa, selain sentiasa solat di awal waktu dalam keadaan apa sekalipun.
Menurutnya, Nik Aziz juga perahsia kerana tidak suka menceritakan masalah dengan orang lain.
“Paling disukainya ialah duduk di masjid untuk membaca al-Quran. Selama
23 tahun menjadi pengiringnya, Tok Guru sering berpesan supaya solat
awal waktu, jangan tinggal dan jangan lengah-lengahkan solat.
“Memang rasa sedih kerana kehilangan seorang majikan yang paling baik,
malah dianggap sebagai abang kandung sendiri kerana saya sentiasa
mengiringi beliau dari pagi hingga malam terutama bagi tugasan rasmi
atau politik,” katanya.
Pok Ya yang juga pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyifatkan Nik Aziz seorang yang baik hati dan penyayang.
"Allahyarham tidak suka menyusahkan urusan orang lain walaupun diri sendiri sedang dalam kesusahan.
"Beliau juga pemurah, tak kiralah dari duit, masa atau tenaga. Boleh
dikatakan hampir seluruh masanya juga digunakan untuk berdakwah dan
bertemu rakyat, selebihnya berada di masjid untuk membaca al-Quran dan
buku agama atau mengikuti perkembangan politik semasa,” katanya.
Pok Ya berkata, Nik Aziz tidak pernah berdendam walaupun pihak lawan
tidak memahami hasratnya yang mahu menegakkan syiar Islam dalam
pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan