Mohd Amar Nik Abdullah
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan terkilan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka (N06) tanpa pandangan negeri terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tarikh yang diumumkan  SPR terlalu hampir dengan Sidang Dun yang akan berlangsung 16 hingga 18 Mac depan.

"Sepatutnya SPR perlu tanya khabar kita apa majlis besar yang akan berlaku di dalam negeri dalam tempoh tersebut, ia menggangu sikit dari segi perjalanan.

"SPR juga perlu mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan tarikh yang sesuai. Kalau mereka (SPR) tanya kita terlebih dahulu mungkin lebih elok," katanya.

Katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco Kelantan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK), Kota Darulnaim di sini.

Mohd Amar berkata, walau apa keadaan sekalipun pihaknya akan tetap hadapi dengan tenang.

Mengulas mengenai calon N06 beliau berkata, belum ada kata putus mengenai hal tersebut memandangkan masih dalam.perbincangan.

"Calon ramai tiada masalah untuk pilih cuma kita belum buat apa-apa keputusan lagi.

"Pada asasnya kita dah sedia hadapi PRK Dun Chempaka, dengan mengadakan pertemuan dengan jentera parti sebelum ini,"katanya.

Sebelum ini SPR mengumumkan tarikh penamaan calon PRK Dun Chempaka pada 10 Mac depan dan 18 Mac untuk undi awal.