Khamis, 8 Januari 2015

TDM mewarisi pemimpin-pemimpin pelapik, bukan pimpinan pelapis




Oleh Aspan Alias



Najib adalah seorang Perdana Menteri yang paling tidak secocok dengan keadaan dan situasi di negara ini. Berbagai-bagai isu dilemparkan terhadap beliau termasuk lemparan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tentang perilaku Najib yang tidak sensitif dengan keadaan politik negara ini. Apa pun isu yang dibesarkan terhadap beliau tidak menampakkan yang beliau sedar yang beliau merupakan seorang pemimpin yang paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah negara, tetapi beliau tetap dengan sikap bebalnya.

Beliau merasakan tidak ada siapa yang mampu menahan beliau dari apa yang beliau hendak lakukan atau yang dilakukan oleh isterinya. Beliau seperti seorang maharaja yang besar dan kesangsaraan rakyat tidak membuatkan beliau hari ini menjadi pemimpin yang lebih baik dari semalam. Malahan beliau bertambah bebal dan menganggap isu yang dimainkan rakyat itu tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ kepada beliau.

Diharapkan kepada sesiapa yang telah membentuk kepimpinan Najib pada hari ini akan merasakan kekesalannya kerana memberikan laluan kepada pemimpin yang sudah tidak sedar akan apa yang beliau lakukan setiap masa dan waktu itu. Beliau seolah-olah sedang mabuk dan tidak menyedari apa yang beliau lakukan terhadap negara. Seorang pemabuk selalunya akan melakukan apa yang beliau suka tanpa merasa bersalah.

Isu beliau sentiasa segar, silih berganti setiap minggu dan bulan. Kadangkala beberapa isu datang sekali gus terhadapnya. Dalam keadaan negara dilanda banjir beliau masih bermain golf dengan pemimpin dan mentornya Obama dan setelah sedar beliau kembali tetapi jet mewah kerajaan yang membawa beliau ke Hawaii itu tidak pulang bersamanya tetapi jet itu telah terbang mengelilingi dunia dari AS ke Dubai, Bangkok dan seterusnya kembali ke negara.

Siapakah yang menggunakan jet tersebut sudah diketahui umum dan perlakuan membelanjakan wang rakyat yang sedang sengsara sekarang masih dilakukan seolah-olah wang itu adalah wang emak atau bapanya serta datuk neneknya.

Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang paling mahal untuk ditanggung oleh rakyat.dan jika beliau lebih lama duduk di kerusi Perdana Menteri itu kita akan menanggung bebanan besar untuk menurut kemahuan nafsu dan kehendak beliau.

Tetapi entah apa sebabnya tiada seorang pun yang berbunyi dan memberikan teguran dari kalangan ahli-ahli jemaah kabinet negara mahupun dari parti yang beliau ketuai. Selagi tiada tindakan dilakukan terhadap Perdana Menteri ini, selagi itulah negara akan dibebankan dengan masalah besar yang tidak akan dapat diselesaikan.

Sebagai Menteri Kewangan, kita juga mahu tahu apakah tindakan beliau dalam menghadapi penurunan nilai ringgit dipasaran wang antarabangsa. Semalam ringgit sudah mencecah ke peringkat RM3.55sen bagi setiap dollar Amerika, malahan dalam pertengahan dagangan semalam ia pernah mencecah ke peringkat RM3.59 bagi satu dollar Amerika.

Kejatuhan harga minyak mentah Brent telah turun ketahap USD 53 dan ini semua perlu pencerahan dari Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri yang tidak lekat di negara ini. Beliau berada luar negara tanpa hentinya. Apakah agenda beliau dengan kekerapan keluar negara sekarang ini, hanya beliau sahaja yang boleh menjawabnya.

Presiden AS pun tidak keluar negara sekerap Perdana Menteri Malaysia. Perdana Menteri China pun tidak keluar negara sekerap Najib. Sikap buruk Perdana Menteri sudah sampai ke tahap yang tidak boleh dibiarkan lagi dan mereka yang boleh melakukan apa-apa tindakan untuk menyekat sikap buruk Perdana Menteri ini harus melakukan sesuatu untuk kebaikan negara.

Berada di luar negara dengan alasan melakukan diplomasi melalui permainan golf ini merupakan satu alasan yang tidak boleh diterima. Jika golf itu menjadi tumpuan beliau beliau sepatutnya bersara sahaja dan berikan tumpuan terhadap golf sahaja. Moga-moga tidak berapa lama dari sekarang beliau boleh menjadi pemain golf professional dan boleh menyertai European PGA atau US PGA dan beliau akan tetap mendapat perhatian dunia dalam permainan golf professional itu.

Beliau seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab membetulkan keadaan negara dalam situasi politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Dimanakah slogan-slogan besar ciptaan beliau berada sekarang. Dimana slogan rakyat didahulukan itu? Dimana kah slogan pencapaian diutamakan itu. Dimanakah perginya ETP dan banyak lagi program yang beliau umumkan setiap bulan dahulu? Dimanakah pencapaiannya? Bagaimana dengan NKRA beliau sendiri dan bagaimana pula prestasi barisan kabinet beliau?

Setakat manakah pencapaian matlamat untuk menjadikan negara ini negara maju dengan penadapatan yang tinggi menjelang tahun 2020 itu? Sekarang kita sudah berada dalam tahun 2015. Rakyat masih susah dan apakah formula atau magik yang akan beliau lakukan untuk mencapai pendapatan purata rakyat sebanyak USD 15 ribu setahun itu?

Rakyat sudah terlalu kenyang dengan janji-janji Najib selama ini? Najib sudah hilang kawalan terhadap negara dan kini seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan yang mentadbir rakyat dan negara lagi.

Najib bertindak dan bercakap tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Najib seolah-olah sudah menjadi ‘makhluk perosak’ kepada negara kerana setiap perlakuannya membuatkan rakyat tidak senang duduk dibuatnya. Sememangnya kita tahu yang Najib itu seorang yang lemah dari dulu. Tidak pula kita menyangka yang beliau begitu teruk dan tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan bagi negara majmuk seperti negara kita ini.

Siapakah yang menjadikan Najib pemimpin dahulu sepatutnya merasakan yang sudah sampai waktunya untuk melakukan sesuatu bagi menolak ketepi Najib ini. Bagaimanakah pemimpin yang membina Najib sampai kehari ini boleh lelap dan nyenyak tidurnya, tidak dapat kita ketahui.

Dalam isu kelemahan kepimpinan hari ini mungkin Najib tidak bersalah keseluruhannya, mungkin yang paling bersalah ialah pemimpin yang membiarkan dan membantu Najib naik ketangga politik sampai tahap yang tertinggi ini.

Orang yang saya maksudkan itu ialah Tun Mahathir. Tidak pula diketahui samada TDM sedar yang beliau tidak mempunyai banyak waktu untuk membetulkan kesalahan beliau membina seorang demi seorang pemimpin yang tidak memberikan faedah kepada negara ini.

Malahan kepimpinan beliau telah mewarisi kepimpinan acuan beliau yang tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan kerana mereka itu bukannya pemimpin tetapi hanyalah barisan pengampu dan pembodek semata-mata. Penulis-penulis sejarah akan mempunyai banyak modal untuk menulis tentang warisan Dr Mahathir kepada kita sekarang ini.

Masalahnya Dr Mahthir tidak membina kepimpinan pelapis untuk negara. Apa yang beliau lakukan ialah hanya membina pemimpin pelapiknya sahaja. Akhirnya barisan pelapik inilah yang menguasai negara, dan inilah yang kita rasai sekarang. DETIK DAILY

Tiada ulasan: