Tidak ada siapa yang tidak
bergaduh sekarang ini. Pergaduhan berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan
Rakyat. DAP membangkang pengenalan hukum hudud di Kelantan kerana tidak pernah
dipersetujui dalam manifesto bersama pakatan pembangkang itu. Sekarang DAP pula
mahu mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan yang tidak pernah dibawa
berbincang dalam Pakatan dan PAS tidak bersetuju tindakan DAP itu. Sekarang PAS menuduh DAP 'cakap tidak serupa bikin'.
Kini Pakatan pembangkang
seolah-olah sudah tidak wujud lagi pada hakikatnya dan masing-masing membuat
kerja masing-masing dengan hala tujuan masing-masing. Dalam pihak kerajaan pula
berlaku pergaduhan besar dalam MIC dan berlaku pergeseran di antara parti-parti
dalam BN itu. UMNO tidak lagi sekuat dahulu yang mampu menguasai hala tuju BN
itu.
UMNO kini bergaduh sesama
sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri
sekarang, Najib Tun Razak. Setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun
Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya
dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr
Mahathir. Seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin
dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa
perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainduddin dan Kadir Jasin sendiri.
Sekarang di antara pemimpin dan
mereka yang rapat dengan kuasa dalam UMNO dan BN itu sedang bergaduh sesama
sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu.
Pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah
pihak sebagai ‘bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam’. Masing-masing
mendiami rumah kaca dan elok jika masing-masing tidak melontar batu ke rumah
kaca lawan.
Semuanya sudah terburai dan
ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan
selama-lamanya. Tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga.
Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang
kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan
negara.
Sekarang kedua-dua belah pihak
sedang bergaduh dikhalayak ramai seperti 'janda tua bergaduh sambil menyinsing
kain dikhalayak ramai dikampung-kampung dahulu'. Masing-masing membontotkan
pihak lawannya sebagai tanda benci dan dendam masing-masing terhadap pihak
lawan. Sekarang ini kita mulai nampak apa yang ada disebalik kain mereka.
Kita lihat seterusnya apa yang
berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini. Kedua-dua
belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan
mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan
negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.
Saya mengambil ini sebagai isu hari ini kerana saya sudah lama menulis tentangnya. Selalu saya
perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego
masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita
dalam keadaan sekarang ini.
Jika ada walaupun sebelah pihak
sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan
berlaku bergaduh sambil ‘menyinsing kain’ seperti sekarang ini. Tentulah pihak yang
benar tidak akan memberikan respon yang sama seperti pihak yang lagi satu.
Pendeknya apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya
benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir,
terutamanya Daim itu semuanya benar.
Dalam pergaduhan ini Najib
nampaknya kesaorangan kerana tidak ada seorang Menteri pun yang tampil secara
terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya
mereka secara ‘collective’ mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan
hilang jika Najib berundur. Mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun
itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.
Tidak ada juga pihak yang
mengiyakan apa yang di sebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang
berfikir akan mengakui, ‘there must be a cause for a cause’. Kalau tidak
kerana berlindung dibawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan
timbul sebagai pemimpin besar negara? Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir
masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja
yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri?
Inilah padah yang di perolehi oleh
Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan
beliau. Sekarang oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini
tidak mampu untuk menunjukan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk
menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri.
Dulu Dr Mahathir tidak percaya
kepada orang yang bernas dan cerdas untuk berada bersamanya dalam kepimpinan
negara. Bagi beliau memilih orang yang cerdik dan bernas untuk mengiringi
beliau itu merupakan satu tindakan 'membela harimau' pada Dr Mahathir. Mahathir
memilih untuk bersama dengan pengampu dan pendokong membuta tuli mereka dan
Mahathir sendiri tidak sedar apa kah ‘consequence’ nya membela dan mewariskan
kepimpinan kepada pengampu dan yang pandai menggeli pundi-pundinya
sahaja.
Sekarang kita semua sudah
mempelajari satu pelajaran yang sangat berguna kepada mereka yang mampu belajar
dari kesalahan orang lain. Kita sekarang sudah belajar dengan jelas yang jika kita
melonjakkan dan menaikan mereka yang lemah, kelemahan mereka itu tidak akan
membantu untuk kita semasa kita bersara. Pemimpin yang lemah selalunya akan
terbekal secara ‘natural’ dalam diri mereka dengan tiga racun berbisa yang
akan membinasakan mereka sendiri, iaitu ‘greed, anger and foolishness’.
Bagi seseorang yang mempunyai
tiga unsur ini di dalam diri mereka tidak akan terjumpa waktunya mereka akan
mengambil tindakan yang betul terutamanya terhadap kepentingan rakyat dan
negara. Unsur-unsur inilah yang menonjol sejak kepimpinan Dr Mahathir.
Oleh kerana wujudnya tiga unsur
beracun itulah yang menyebabkan sejak kepimpinan Dr Mahathir Mohamed, tidak ada
pemimpin yang sesuai lagi untuk negara dan ini dibuktikan oleh ‘frustrations’
Dr Mahathir terhadap mereka yang beliau lonjakan dari Musa Hitam kepada Najib
yang memimpin pada hari ini. Bukannya kita yang menuduh Dr Mahathir dalam isu
ini, sebaliknya Dr Mahathir sendiri yang menyerang semua mereka yang beliau
sayangi yang beliau guna untuk beliau jadikan ‘pelapik’ beliau seperti yang
saya selalu sebutkan selama ini.
Seperkara yang kita mesti akui
jika kita ada sedikit ‘spiritual value’ dalam diri pemimpin kita, kehidupan
mereka terutamanya semasa alam persaraannya akan aman dan tenteram. Tetapi oleh
kerana kita terlalu kosong dalam diri kita ini, maka malang datang menghimpit dan merasakan
kehidupan tidak pernah merasakan kepuasan dan sentiasa berada dalam kemurungan
dan sifat amarah itu tetap menguasai kehidupan kita.
Tetapi kita juga percaya, tidak
akan datang kebaikan jika kita tidak lalui keperitan. Tidak akan datang yang
enak jika tidak datang kepayahan terlebih dahulu. Tidak akan dapat menghargai
hidup dalam kejujuran jika kita tidak melalui zaman kita hidup dengan bisikan
khatir yang akan sentiasa menyesatkan kita terutamnya apabila kita sampai dan
menghampiri akhir kalam.
Bak kata ulamak muktabar, jalan
ke syurga itu 'berduri-duri dan beronak, jalan ke neraka itu penuh dengan roti
dan keju'. Tetapi yang pastinya di pengakhir hidup kita biarlah kita dihormati
dan disayangi oleh orang setidak-tidaknya di kariah kita. Adalah amat
menyedihkan kita dihimpit dengan banyak masalah dalam akhir-akhir dan sisa
hidup kita, sedangkan waktu itu adalah waktu yang kita dahagakan ketenangan hidup.
Baik pihak Dr Mahathir mahu pun
pihak Najib. Sesungguhnya mereka sedang berperang dengan diri mereka sendiri.
Peperangan melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang tidak berkesudahan.
Ia bermula sejak kita lahir sampai lah ke akhir kalam kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan