Rabu, 14 Januari 2015

Palanivel hanya OK pada tujuh bulan pertama jadi Presiden - Vell Paari

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic



SHAH ALAM: Selepas empat tahun menjadi presiden, Datuk Seri G Palanivel telah membuktikan bahawa beliau bukan pemimpin berkualiti yang diperlukan bagi menerajui MIC, demikian dakwa seorang tokoh parti itu.

Bekas Pengarah Strategi MIC, Datuk Seri S Vell Paari mendedahkan, Palanivel hanya menunjukkan prestasi dan kebolehannnya menerajui parti dalam tujuh bulan pertama sejak mengambil alih parti daripada bapanya, Datuk Seri S Samy Velu pada 2010.

Selepas tempoh tersebut katanya, prestasi Palanivel mula menurun, apabila sering bersikap 'mudah lupa' dan membuat pusingan-U selepas beberapa keputusan penting dicapai dalam mesyuarat.

"Saya rasa awal tujuh bulan pertama, bila diambil sebagai Presiden, dia OK. Idea dan caranya fantastik. Lepas itu, ia menurun, dia pelupa.

"Tujuh bulan pertama, OK. Selepas itu, menurun... Buat satu keputusan lepas tu tukar," katanya dalam wawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.

Vell Paari, adalah antara pemimpin yang lantang mengkritik kepimpinan Palanivel, sejak pemilihan parti berkenaan diisytiharkan tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pada 5 Disember lalu, RoS mengeluarkan arahan agar parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC), selain pemilihan semula di lapan bahagian berikutan terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa.

Lapan bahagian itu ialah Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.

MIC diberikan tempoh masa selama 90 hari untuk mengadakan pemilihan semula bagi jawatan naib presiden dan jawatankuasa kerja pusat, dan 60 hari bagi semua bahagian yang terlibat.

 Mengulas lebih lanjut kepimpinan Palanivel, Vell Paari yang juga Pengerusi MIC Bahagian Kepong berkata, kredibiliti parti itu begitu tercalar apabila presiden sendiri ditegur oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berhubung isu tanah runtuh dan banjir lumpur di Cameron Highlands.

"Anda lihat dalam sejarah MIC. Mana ada seorang Presiden yang dikritik oleh mana-mana sultan, seperti yang dia kena," katanya merujuk kepada isu tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku di tanah tinggi itu, November tahun lalu.

Palanivel, adalah ahli parlimen bagi Cameron Highlands sejak memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum 2013. Kerusi Parlimen tersebut sebelum ini diwakili oleh Datuk SK Devamany.

Vell Paari juga menyatakan 'rasa malu' apabila kelibat Palanivel langsung hampir tidak kelihatan bersama-sama pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain membantu mangsa bencana banjir besar, baru-baru ini.

"Anda lihat, semua ketua daripada pembangkang sehingga kerajaan. Semua masuk air. (Tapi) kita punya kawan (presiden)? Tak ada. Mana dia pergi? Bila Perdana Menteri lawat di Temerloh masa dah surut, dia tunggu di sana dengan pakai baju elok, sambil lihat Perdana Menteri," ujarnya sinis.

Palanivel kini berhadapan dengan tekanan daripada akar umbi yang mendesaknya meletakkan jawatan berikutan gagal menangani krisis dalaman parti berkenaan, yang tercetus selepas pemilihan pada 2013.

Untuk rekod, Palanivel pernah mengumumkan persaraannya sebagai presiden parti terbesar kaum India itu hanya akan berlaku pada 2016.

Tiada ulasan: