Ahad, 4 Januari 2015

Mengapa sibuk cari publisiti di tengah-tengah kesengsaraan orang lain?

 
Oleh Sonia Ramachandran
 
 
PETALING JAYA: Kita tersentuh hati apabila melihat rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, dan agensi-agensi kerajaan bertungkus lumus mengumpulkan bantuan bagi mangsa-mangsa banjir, yang terjejas akibat kejadian banjir paling teruk di negara ini dalam tempoh beberapa dekad.

Walau bagaimanapun, persoalan timbul sama ada tindakan menampal atau mencetak gambar-gambar sendiri pada "bantuan" itu, adalah beretika?

Soalan ini timbul selepas beg-beg beras yang diagihkan kepada mangsa banjir yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah tersebar di talian.

Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub turut menerima kritikan apabila gambar beg-beg beras untuk mangsa banjir telah diedarkan dalam talian, dan didapati memaparkan perkataan 'Datuk Lan, Ahli Parlimen Machang’, bersama-sama dengan logo BN dan 1Malaysia.


Ahli sains politik, Dr Wong Chin Huat memberitahu Semut Harian bahawa terdapat dua persoalan yang perlu diteliti. 

Pertama, beliau bertanya jika gambar-gambar pada beg ini adalah suatu keutamaan?

"Adakah ia benar-benar telah membantu kerja-kerja bantuan, atau melambatkannya? Ia jelas telah menjejaskannya. Setiap minit yang digunakan untuk 'menampal' label itu adalah satu minit yang dibazirkan dalam tiba ke mangsa-mangsa banjir.

"Perdana Menteri nampaknya tidak meletakkan keutamaan beliau dengan betul. Lihatlah kekecohan golf itu. Mengapakah beliau tidak dia kembali serta-merta selepas acara 'diplomasi golf' beliau? Kenapa dia berbuat demikian hanya selepas rakyat marah dengannya? Beliau kelihatan seperti tidak memahami politik," kata Wong.

Wong merujuk kepada sesi golf Najib bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii, yang menyebabkan beliau menerima kemarahan rakyat Malaysia di media sosial, yang mempersoalkan masa lawatan beliau sewaktu salah satu banjir terburuk yang pernah melanda negara ini sedang berlaku.

Najib telah dilaporkan berkata yang sesi golf itu telah dirancang lebih awal dan ia dipanggil "diplomasi golf", yang katanya telah diamalkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia masa lalu, termasuk bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.

Wong berkata, isu kedua ialah kos yang terlibat dalam tindakan mempromosi diri sendiri itu.

“Jika Perdana Menteri mahu mempromosikan dirinya sekalipun semasa tidak ada bencana, beliau perlu berbuat demikian dengan wangnya sendiri. Tidak ada sebab bagi seorang bos membayar supaya pekerjanya dapat bermegah-megah.

"Untuk menteri-menteri yang mempertahankan beliau, soalan yang perlu ditanya sekarang ialah berapa banyak dana yang digunakan bagi 'menampal' beg-beg beras dengan wajah Perdana Menteri, apabila semua itu sepatutnya disalurkan ke dalam usaha-usaha bantuan," kata Wong.


Malaysiakini memetik Ismail Sabri sebagai berkata bahawa tidak mengapa jika rakyat mengecam beg-beg beras yang menayangkan wajah Najib itu, selagi bantuan itu sampai kepada mangsa.

Laporan Malaysiakini menyatakan yang gambar-gambar beg beras dengan wajah Najib dan Ismail Sabri itu pertama kali disiarkan dalam talian oleh penulis blog pro-Umno, Syed Akhbar Ali dalam blognya, “Out Syed The Box”.

Syed Akhbar dilaporkan mendakwa bahawa pekerja-pekerja tambahan telah diupah untuk menampal gambar Najib pada bekalan-bekalan yang disediakan oleh Kementerian Pertanian.

Beliau menambah bahawa beliau telah mendapat gambar itu dari salah seorang daripada mereka yang telah diupah, dan bekalan itu tidak akan diagihkan kepada mangsa-mangsa sehingga gambar-gambar ini ditampal.

Dalam kes Ahmad Jazlan, beliau dilaporkan berkata yang beg-beg beras yang dicetak dengan mukanya adalah baki kempen pilihan raya umum ke-13, dan adalah tidak benar bahawa beras-beras ini dipindahkan daripada bekas asalnya kepada pakej 'berjenama BN'.

“Apabila bencana melanda dan terdapat kekurangan bekalan bantuan, saya mengeluarkan 500 beg simpanan saya untuk diagihkan dengan segera.

"Ini bukan masa berpolitik. Ini adalah misi kemanusiaan," Ahmad Jazlan telah dipetik sebagai berkata.

Adakah ini bermakna yang pemberian beg-beg beras yang memaparkan wajah anda di atasnya sewaktu pilihan raya umum, bukannya satu kesalahan?

Dalam hal Najib dan Ismail Sabri, adakah ini masa untuk promosi apabila ada yang menderita tanpa makanan, elektrik dan air?

Ismail Sabri mungkin berkata yang ia tidak penting, tetapi kepada orang-orang yang menerima bantuan dan lain-lain di negara ini, ia menimbulkan persoalan.

Dana kerajaan adalah wang rakyat dan jika dana tersebut digunakan untuk tujuan begitu apabila ia seharusnya disalurkan terus kepada mangsa-mangsa banjir, orang ramai pasti akan naik marah.

Ya, apa yang penting ialah bantuan itu sampai kepada mangsa-mangsa, tetapi tindakan membuang masa untuk "mencetak" atau "menampal" gambar-gambar bagi tujuan publisiti, adalah kurang wajar.

Ini adalah masanya bagi pemimpin-pemimpin untuk memimpin dan membantu, bukannya untuk berpolitik.

Malah, tindakan seperti ini mungkin mempunyai kesan yang sebaliknya.

Tiada ulasan: