MALAYSIAKINI
Persoalan punca nahas pesawat AirAsia QZ8501 belum dapat terjawab
sepenuhnya walaupun pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) telah menemui
kotak hitam semalam.
Ini kerana apa yang terkandung dalam kotak hitam yang ditemui itu
setakat ini adalah perakam data penerbangan (FDR) iaitu data yang
mencatat mengenai teknikal penerbangan dari mula termasuk ketinggian dan
kelajuan pesawat berkenaan.
Ia hanya sebahagian daripada kandungan kotak kitam dan perkakasan
penting iaitu perakam suara kokpit (CVR) tidak ditemui bersama kotak
hitam berkenaan.
CVR ialah alat yang merakam semua perbualan juruterbang, anak kapal dan sebarang suara dalam pesawat itu.
Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Moeldoko berkata operasi
mencari alat CVR dan badan pesawat itu akan terus digiatkan di dasar
laut mulai hari ini.
"Pencarian masih belum berakhir", kata beliau kepada wartawan yang
disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.
Kotak hitam itu ditemui pada koordinat 03" 37.21 S atau 109" 42.42 E
dengan kedalaman antara 30 hingga 32 meter iaitu berhampiran tempat ekor
bangkaipesawat itu ditemui di kawasan perairan berhampiran Pangkalan
Bun, Kalimantan Tengah.
Alat itu telah dibawa ke Komisi Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT)
di Jakarta untuk analisa setelah saksi dan pakar dalam bidang berkaitan
hadir kelak seperti yang ditetapkan oleh peraturan antarabangsa.
Menurut Kepala KNKT Tatang Kurniadi, proses analisa data itu bermula
dengan membuat transkrip data dan pembacaan data itu akan mengambil masa
yang agak lama.
Hari ini, memasuki hari ke-16 operasi SAR dijalankan dan dalam tempoh
dua hari ini, pihak SAR tidak menemui mayat yang dipercayai masih berada
dalam kawasan perairan berkenaan atau terperangkap dalam pesawat yang
terbenam dalam dasar laut itu.
Kepala Badan SAR Nasional (Basarnas) Bambang Soelistyo berkata, operasi
SAR kini adalah ditahap akhir tetapi usaha mencari mayat nahas pesawat
malang itu masih diteruskan bagi memenuhi harapan keluarga
masing-masing.
Siaran televisyen MetroTV memetik Bambang sebagai berkata setiap operasi
ada tahap-tahapnya tetapi pasukannya akan meneruskan usaha mencari
mayat mangsa.
Setakat ini, sebanyak 48 mayat telah ditemui dan daripada itu sebanyak 30 mayat telah dikenal pasti identitinya.
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari
Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi
hari yang sama (28 Disember).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, Korea
Selatan (3) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan
United Kingdom.
Kru terdiri daripada enam rakyat Indonesia dan seorang warga Perancis.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan