SUNGAI BULOH: ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dilaporkan menggesa DAP dan
PKR 'memaafkan' PAS di atas perilaku parti itu dalam menangani krisis
jawatan Menteri Besar Selangor.
Saari adalah antara dua ADUN PAS yang diselar oleh presiden parti itu
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail untuk menyandang kerusi MB itu.
“Bagi pihak parti saya, saya memohon maaf. Saya amat berharap anda
semua boleh memaafkan PAS,” kata beliau pada majlis kutipan derma di
sini malam tadi.
Beliau menggesa penyokong DAP dan PKR untuk mengorak langkah ke depan
dalam memperkasakan semula Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya
umum ke 14, lapor Malay Mail.
Saari dan ADUN Morib Hasnol Baharuddin dirujuk kepada Jawatankuasa
Pusat PAS selepas mereka dikatakan menyanggah Hadi dan Majlis Syura
apabila menyokong Wan Azizah bagi jawatan MB.
Tindakan mereka membolehkan presiden PKR itu mendapat sokongan
majoriti dalam DUN Selangor dengan sokongan baki 13 ADUN PKR dan 15
ADUN DAP.
Bagaimanapun Sultan Selangor akhirnya memilih timbalan presiden PKR
Azmin Ali menjadi MB baru, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang dipecat PKR di atas tuduhan tidak berwibawa.
Hadi dan Majlis Syuara menyifatkan Wan Azizah tidak layak menjadi MB
dan sebaliknya mencadangkan tiga nama lain termasuk Pesuruhjaya PAS
Selangor Iskandar Samad untuk jawatan itu.
Pada muktamar PAS lalu, Hadi dilapor menyifatkan dua ADUN itu sebagai barua dan dibeli oleh PKR.
Saari dan Hasnul mempertahankan tindakan mereka menyokong Wan Azizah
sebagai mempertahankan kewibawaan Pakatan Rakyat dan PAS sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan