MALAYSIAKINI
Lima maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan
dua buah kereta di KM61.2, Jalan Johor Bahru-Mersing, di Kota Tinggi
malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Low Hang Seng berkata mangsa
yang terbunuh adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kenari iaitu
Rosmah Muda, 28, dan adiknya Fatimah, 24, serta pemandu dan penumpang
Poton Wira iaitu Mohamad Shafie Pecek, 21, Mohamad Fayad Abdul Rahman,
21 dan Mohd Nizam Hassan, 29.
"Mangsa yang cedera parah pula adalah Nur Shafiqah, 14, yang merupakan
adik kepada Rosmah dan Fatimah. Dia kini dirawat di Hospital Kota Tinggi
(HKT)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Low berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 10.40 malam
apabila Proton Wira yang dinaiki Mohamad Shafie, Mohamad Fayad dan Mohd
Nizam dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing itu berlanggar dengan
Perodua Kenari yang datang dari arah bertentangan.
Difahamkan, ketiga-tiga sahabat itu dalam perjalanan pulang ke Felda
Tenggaroh, di Kota Tinggi selepas menjamu selera di bandar Kota Tinggi.
Tiga beradik perempuan yang beralamat di Jalan Haji Arifin, Endau,
Mersing, itu pula dalam perjalanan bagi tugasan mengandam pasangan
pengantin di Felda Air Tawar 3, di Kota Tinggi.
Katanya, berikutan perlanggaran itu Rosmah, Fatimah dan Mohamad Fayad
mati di tempat kejadian manakala Mohamad Shafie dan Mohd Nizam meninggal
dunia di HKT.
Kesemua mayat dibawa ke HKT untuk bedah siasat.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan