NADIA HANAFI
KUALA LUMPUR- Keputusan perbicaraan kes Fitnah 2 Ketua Umum KEADILAN,Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diketahui akhir bulan ini akan menentukan masa depan demokrasi dan halatuju politik di Malaysia.
Naib Ketua AMK Pusat, Fahmi Fadzil berkata, dalam jangka masa sebelum keputusan mahkamah diumumkan, seluruh media dunia akan memberi perhatian terhadap Malaysia untuk melihat sama ada demokrasi di negara ini semakin sihat atau bertambah tenat.
“Dalam dua minggu setengah yang akan datang ini, tatkala rakyat mendepani hari-hari harga minyak dan harga barang yang semakin naik tetapi gaji terus mendatar, berserta cukai GST yang bakal dimulakan April 2015, masa depan demokrasi dan halatuju politik di Malaysia akan ditentukan.
“Tatkala Bajet 2015 dan pelbagai Rang Undang-Undang yang mendatangkan kesan kepada nusa dan bangsa akan dibahas di Parlimen, Ketua Pembangkang mungkin akan ditamatkan hayat politiknya, yang secara langsung meneruskan hegemoni kekuasaan puak pemerintah yang bagai belum terjaga dari lena yang mengakibatkan bersuaranya lebih 52% pengundi di PRU13 yang lalu,” katanya.
Fahmi juga berkata, AMK telah memulakan kempen di media sosial rasmi AMK serta pimpinan KEADILAN untuk menyemarakkan reformasi dan memperjuangkan masa depan rakyat juga negara.
“Lebih seminggu yang lalu, AMK telah memulakan kempen “countdown” di media sosial rasmi AMK (Twitter: @amkmalaysia dan Facebook: https://www.facebook.com/amkeadilan) serta laman media sosial rasmi pimpinan KEADILAN untuk menyemarakkan semangat Reformasi dan perjuangan sejak lebih 15 tahun lalu yang perlu diteruskan, demi Rakyat dan masa depan negara yang lebih baik.
“Pengumuman mengenai kempen-kempen selanjutkan akan dibuat dalam masa yang terdekat,” katanya.
Katanya lagi, kita perlu bersedia, berdoa, bersabar dan terus istiqamah dalam menghadapi saat genting sejarah politik moden negara ini.
“Putrajaya, sedarlah bahawa Rakyat dan Dunia sedang memerhatimu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pada 28 dan 29 Oktober depan pendengaran rayuan keputusan penghakiman kes Fitnah 2 terhadap Anwar Ibrahim akan diputuskan di di Mahkamah Persekutuan sama ada beliau terus bebas atau dimasukkan ke penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan