Oleh Rafizi Ramli
Saya meneliti keputusan PTPTN untuk menyenaraikan penghutang PTPTN di
dalam CCRIS sebagai langkah mengutip hutang PTPTN. Saya juga sedia
maklum alasan-alasan yang diberikan oleh YB Saudara Khairy Jamaluddin,
Ketua Pemuda UMNO yang telah membuat “U-turn” dari pendirian awalnya
dengan menyokong keputusan PTPTN kali ini.
Pada
pandangan saya, bangkangan terhadap cadangan melaksanakan CCRIS ini
bukanlah semata-mata soal tidak mahu membayar hutang.
Sementara saya
bersetuju bahawa kadar kutipan hutang PTPTN perlu diperbaiki, ada cara
lain yang boleh digunakan oleh PTPTN tanpa perlu menganiaya peminjam
melalui CCRIS ini. Lebih penting, pimpinan-pimpinan Umno/Barisan
Nasional tidak boleh menutup mata kepada persoalan moral yang lebih
besar apabila PTPTN menyenaraikan peminjam-peminjam PTPTN ini di dalam
CCRIS.
YB Saudara Khairy Jamaluddin perlu menjawab kepada golongan muda
kenapakah Umno/Barisan Nasional tidak menggunakan pendekatan menyenarai
hitam dan langkah-langkah yang kasar begini terhadap kroni dan niagawan
yang hutang mereka kepada kerajaan jauh lebih tinggi dari jumlah hutang
tertunggak (yang dianggarkan RM1 bilion) yang mahu dikutip melalui CCRIS
ini?
Di mana suara kasar dan lantang YB Saudara Khairy Jamaluddin dalam perkara-perkara berikut:
1. Hutang-hutang negara yang dimaafkan kepada rakan-rakan rapat
Umno/Barisan Nasional seperti Tan Sri Tajuddin Ramli (hutangnya RM600
juta)?
2. Hutang-hutang negara yang tidak dikutip dari pemimpin Umno/Barisan
Nasional seperti keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang masih
berhutang RM250 juta dengan rakyat apabila projek lembu yang
dianugerahkan mereka gagal?
3. Pampasan keuntungan yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang
rapat dengan Umno/Barisan Nasional seperti pampasan tol dan subsidi gas
kepada penjana bebas?
Saya percaya rakyat umumnya marah apabila kerajaan melalui PTPTN
mengambil cara kasar mahu mengutip hutang berjumlah beberapa ribu
ringgit dari rakyat biasa, sedangkan tindakan sebegitu tidak pula
dikenakan kepada peminjam-peminjam besar dari kalangan kroni yang
nilainya berkali-kali ganda lebih besar dari jumlah peminjam PTPTN ini.
Oleh yang demikian, saya menyeru supaya YB Saudara Khairy Jamaluddin
kekal dengan pendirian awal iaitu menentang tindakan menyenarai hitam
peminjam PTPTN dalam CCRIS kerana ada cara-cara lain yang lebih berhemah
seperti berikut:
1. PTPTN wajar menetapkan kriteria pendapatan boleh belanja
(disposable income) yang mengasingkan di antara peminjam tegar yang
mampu membayar tetapi enggan membayar, dari peminjam yang betul-betul
tidak mampu.
Contohnya, peminjam-peminjam PTPTN wanita yang surirumah dan
mempunyai tanggungan besar sudah tentu lebih sukar membayar berbanding
seorang yang telah mengusahakan perniagaan besar.
Saya mencadangkan supaya PTPTN mengambil pendekatan Australia iaitu
hanya peminjam yang telah mencapai gaji tertentu yang wajar membayar
atau dikutip hutangnya.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya hanya peminjam yang pendapatan
boleh belanja (disposable income) bulanan melebihi RM1,000 sebulan
(setelah mengambil kira bilangan anak dan tanggungan) yang perlu
ditumpukan oleh PTPTN untuk mengutip hutang.
2. Daripada senarai ini (yang telah mengasingkan peminjam tegar yang
mampu tetapi tidak mahu membayar), saya cadangkan PTPTN menghubungi
mereka dan merundingkan jadual bayaran.
PTPTN sendiri mengakui bahawa
PTPTN mempunyai maklumat alamat dan berhubung yang lengkap mengenai
peminjam-peminjam ini.
Sekiranya mereka enggan juga membayar, PTPTN bolehlah mengiklankan
nama-nama mereka sebagai penghutang tegar di dalam akhbar-akhbar dan
media harian sebagai cara untuk mendesak mereka membayar.
Cara ini sudah pun digunakan oleh badan-badan biasiswa seperti PETRONAS, Mara dan lain-lain untuk mengutip hutang pendidikan.
Menggunakan CCRIS benar-benar memangsakan rakyat dalam keadaan
ekonomi sudah pun menekan. Sebab itu saya berpendapat adalah tidak
bermoral untuk mengejar peminjam PTPTN sebegini rupa sedangkan
penghutang besar negara dari kalangan kroni dimanjakan.
* Rafizi adalah Naib Presiden KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Pandan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan