Jumaat, 17 Oktober 2014

Anggota PBB: Tahniah, tapi jangan sekadar jadi 'tukang angguk'

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: PAS merakamkan tahniah di atas kejayaan Malaysia yang dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) selepas memperolehi 187 undi daripada 192 negara yang mengundi.

Bagi PAS, dengan kejayaan itu Malaysia perlu memainkan peranan yang berbeza dengan anggota keselamatan yang dahulu dalam di mana mereka banyak mendiamkan diri dalam  isu-isu yang dibentangkan di PBB.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Nawawi berkata, isu-isu yang melanda negara-negara di Timur Tengah selain Palestin perlu diketengahkan oleh Malaysia.

"Malaysia perlu bersuara dalam isu-isu pembelaan umat islam misalnya Palestin yang menjadi nadi perjuangan orang Islam.

"Ini yang diharapkan, jangan menjadi anggota hanya sekadar terangguk-angguk kerana kuasa besar dunia Amerika Syarikat yang berkuasa veto di PBB,"katanya.

Ini merupakan kali keempat Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap UNSC. Kali terakhir negara menduduki kerusi tersebut adalah pada 1999-2000.

Malaysia diumumkan anggot tidak tetap bersama Angola yang memperoleh 190 undi, diikuti Venezuela (181), dan New Zealand (145).

Tema kempen pencalonan Malaysia sebagai ahli tidak tetap kerusi UNSC adalah 'Keamanan dan Keselamatamn melalui Kesederhanaan' dan pencalonan Malaysia diberi perakuan oleh 10 buah negara Asean pada 29 September 2013 dan Kumpulan Serantau Asia Pasifik pada 29 Januari lalu.

Pemilihan kali ini, Malaysia wakil tunggal Asia Pasifik yang menganggotai kerusi berkenaan bagi tempoh 2015-2016 manakala Fiji pula akan mewakili Asia Pasifik dua tahun berikutnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: