DETIK DAILY |
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Naratifnya seakan-akan filem James Bond. Sememangnya saya tidak berminat dengan cerita-cerita konspirasi, komplot atau pengintipan, yang didakwa berlaku di alam nyata. Saya juga tidak tertarik dengan kisah pengkhianatan atau seumpama double agent, kecuali menontonnya di kaca televisyen.
Tentu ada yang bertanya, kalau begitu, mengapa kontroversi berkaitan Pejabat Peguam Negara, yang dikatakan terdapat dua agen perisik CIA, dan sumbernya dipercayai datang daripada Dr Mahathir Mohamad, mendapat tempat utama pada muka depan Harakah, dua keluaran berturut-turut?
Agen CIA di Jabatan Peguam Negara, yang menyusup masuk membawa agenda jahat Amerika Syarikat? Adegan yang suspens, 'kan? Mengapa tiba-tiba Abd Gani Patail pula, yang selama ini bertindak mempertahankan kerajaan, terutama dalam kes-kes politikal, dijadikan sasaran dan nampak seolah-olah ada usaha terancang untuk menyingkirnya.
Segera saya teringat babak-babak mendebarkan 15 tahun lalu, semasa Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatan dalam kerajaan dan Umno, seterusnya diaibkan, dengan bermacam-macam tuduhan. Anwar juga didakwa menjadi ancaman kepada negara apabila dikaitkan dengan CIA dan perisik asing.
Bukankah Dr Mahathir juga "pengarah filem" ketika itu? Tidak terhenti setakat itu, timbul isu terdedahnya rahsia negara kepada pihak luar, dan keselamatan nasional terancam, disulami dengan kisah sensasi tilam, lendir, pelacur datang haid yang dipaksa, lelaki memakai rambut palsu ...
Ingatan saya tidaklah begitu kuat terutama selepas dua kali diserang angin ahmar, tetapi saya sukar melupakan adegan berkaitan percubaan Peguam Negara untuk "membeli" saksi, dengan mengancam membuat pendakwaan berkaitan senjata api yang boleh membawa hukuman bunuh.
Dan di situlah minat saya sebenarnya -- kedudukan, keistimewaan dan kuasa tidak terbatas Peguam Negara, tetapi begitu berkait rapat dengan Perdana Menteri -- sehingga menyebabkan kami memilih kontroversi terbaru ini sebagai laporan utama.
Peguam Negara bukan saja bertindak sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan -- yang adakalanya bercanggah dengan fungsinya untuk mewakili kepentingan umum -- tetapi kuasanya yang "menggerunkan" adalah seperti diperuntukkan dalam Perkara 145 Perlembagaan: "... mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan ...."
Justeru, walaupun selalu timbul soal pendakwaan terpilih, terutama membabitkan kes yang berimpak politik, tetapi yang jarang diketahui ialah Peguam Negara juga boleh memilih untuk melakukan pendakwaan di bawah undang-undang atau akta yang difikirnya lebih sesuai.
Maknanya, bagi kesalahan yang sama oleh dua pelaku berbeda, misalnya memiliki senjata api tanpa permit, tetapi dengan memilih akta yang berlainan, seorang pesalah boleh dihukum gantung mandatori dan seorang lagi boleh terlepas daripada hukuman mati.
Saya sendiri tidak pasti bagaimana Dr Mahathir, yang sudah sepuluh tahun meninggalkan jawatan Perdana Menteri, tetapi bertindak sebagai aktor penting dalam drama tersebut, yang juga membabitkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah. Kedua-duanya, Mat Zain dan Shafee menyimpan misteri yang menarik untuk diselongkar.
Apabila peguam muda PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi mendedahkan perancangan Dr Mahathir sedang berjalan, bagi menyingkirkan Gani dan menggantikannya dengan Shafee, yang cukup rapat-intim dengan pemimpin Umno, saya terbayang sosok bekas Ketua Hakim Negara yang juga berperwatakan begitu.
Ya, apa saja boleh berlaku di tanahair tercinta ini. Malaysia Boleh, 'kan?
Maka, babak seterusnya mengekori; rekod dan sisi gelap Gani, terutama membabitkan kes-kes pendakwaan yang lemah dan ditolak mahkamah, termasuk di peringkat antarabangsa -- tuntutan Pulau Batu Putih di ICJ -- dibicarakan secara terbuka.
Pelik juga memikirkan, apakah pihak tertentu mahu menyampaikan mesej bahawa Gani telah "dibeli" oleh Singapura sehingga warga Malaysia berputih mata dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, atau sekadar mengingatkan kedaifan Jabatan Peguam Negara kita berdepan pasukan brilliant di seberang Tambak Johor?
Pastinya publik masih mengingati begitu banyak kes korupsi membabitkan VVIP boleh terlepas dengan mudah. Yang terakhir, bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dalam isu PKFZ (Port Klang Free Zone), dibebaskan pada 25 Oktober lalu.
Sebelumnya pada 2009, bekas menteri, Kasitah Gadam yang didakwa atas salahguna kuasa sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, juga dibebaskan. Seorang lagi, yang "bernasib baik", Eric Chia, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, didakwa pada 2004 dan dibebaskn pada 2007.
Itu belum dikira kes-kes rasuah yang dibincangkan secara terbuka, misalnya membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, bukan saja melalui pendedahan Sarawak Report tetapi juga kemewahan keluarganya yang disebut di mahkamah. Tidak terkecuali kes Ketua Menteri Sabah, Musa Aman. Langsung tidak dibawa ke mahkamah!
Dan anda tentu mempunyai senarai lebih panjang, tentang ahli-ahli politik BN dan "jerung-jerung" yang boros kehidupan mereka, tidak segan silu mempamerkan kekayaan melimpah-ruah, tetapi langsung tidak diusik.
SPRM yang mahu diperkasa khususnya setelah diangkat menjadi suruhanjaya oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi -- tetapi tanpa kuasa pendakwaan walaupun telah menerima cadangan daripada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Rasua -- mungkin dpat menyiapkan kertas siasatan dengan baik, tetapi siapa tahu, ia sengaja ketika pendakwaan dibawa ke mahkamah ia telah dilemahkan Peguam Negara sendiri?
Sebenarnya bukan hanya kredibiliti Gani terpalit tetapi seluruh warga Jabatan Peguam Negara tercemar, dan ia tidak boleh dibiarkan begitu saja. Mungkin penubuhan suruhanjaya siasatan diraja boleh membantu dan Mahathir tentu akan menjadi saksi utamanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan