Ia akan dibincangkan dalam seminar eksklusif pemerkesaan pendakwaan syariah peringkat kebangsaan (SEPP).
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membincangkan kemungkinan membekalkan senjata api kepada anggota penguatkuasa dan pendakwa Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais).
Ia akan dibincangkan dalam seminar eksklusif pemerkesaan pendakwaan syariah peringkat kebangsaan (SEPP).
Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Haji Daud Abdul Rahman berkata, perkara itu perlu kerana keselamatan anggota pasukan penguatkuasa dan pendakwa terdedah dengan ancaman bahaya seperti yang berlaku di Pahang baru-baru ini.
“Kerajaan mengambil serius soal keselamatan anggota penguatkuasan dan mahu bukan sahaja diri mereka, tetapi juga ahli keluarga dalam keadaan yang terjamin,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar berkenaan di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Menurutnya, sesetangah negeri seperti di Terengganu mula mengambil langkah membekalkan pasukan penguatkuasanya dengan senjata untuk menjaga keselamatan semasa menjalankan tugas.
“Kemungkinan di dalam seminar ini, perkara tersebut akan dibincangkan sama ada ia sesuai atau tidak untuk diaplikasikan di negeri kita.
“Ia kerana kita mahu keselamatan ahli keluarga diberi kepentingan yang sama agar kehidupan mereka berlangsung dengan aman tanpa gangguan yang membahayakan,” ujarnya.
Tindakan negatif
Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur menasihati rakyat yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap tugasan anggota pasukan JAIS untuk mengubahnya dan memahami dengan jelas sebelum melakukan tindakan negatif.
Katanya, pegawai penguatkuasa dan pendakwa hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kerana mahu semuanya berjalan dengan baik.
“Sehubungan itu, saya berharap aspek keselamatan mereka diperketatkan dan menjadi salah satu resolusi pada seminar ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Sarawak kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan naik taraf menjadi sebuah Jabatan Pendakwaan Syariah.
“Dengan adanya penjabatanan ini, ia dapat meningkatkan keupayaan bahagian pendakwaan syariah dan seterusnya memartabatkan undang-undang Syariah di Sarawak,” katanya.
Beliau mensasarkan proses tersebut mengambil masa selama enam bulan dan dijangka akan diluluskan pada tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan