Sabtu, 16 November 2013

Cukup-cukuplah Tun, tak usahlah sebut-sebut lagi PPSMI

ASPAN ALIAS

Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang penuh dan sarat dengan ‘contradictions’ dalam hidupnya. Beliau berubah pandangan kepada sesuatu hal mengikut waktu dan senarionya. Sekarang tidak berhenti lagi beliau meminta PPSMI di laksanakan kembali untuk menambah kemahiran murid dan pelajar dalam bahasa Inggeris. Itu sebabnya medium yang terbaik bagi beliau ialah dengan mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Kalau tidak Dr Mahathir siapa yang bertanggungjawab melemahkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan murid dan pelajar sekolah selama ini. Bukankah segala-galanya berubah semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran sejurus beliau di terima kembali ke dalam UMNO pada tahun 1974 dahulu?

Dulunya setiap kawasan dan daerah ada sekolah-sekolah jenis Kebangsaan Inggeris dan saya bersekolah dalam salah sebuah sekolah itu. Tetapi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran beliau mengutamakan politik dan kononnya dengan menukar semua sekolah untuk menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya, maka sejak itu bahasa Inggeris sudah tidak lagi menjadi bahasa pengantar di dalam sistem pelajaran sekolah sehinggalah keperingkat universiti.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri satu generasi yang pandai dan menguasai bahasa Inggeris telah tiada kerana mereka sudah berada dalam zaman persaraan. Sekolah-sekolah di penuhi dengan guru-guru yang tidak tahu berbahasa Inggeris dan selepas itu pula Dr Mahathir menumpukan usahanya untuk mengembali bahasa Inggeris ke sekolah melalui pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains.

Kerajaan terpaksa menghantar guru-guru yang bakal mengajar dalam matematik dan sains kursus untuk melatih murid-murid dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Yang saya syok sekali ialah apabila isu ini telah menjadi bahan lawak di khalayak ramai kerana guru yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris bakal akan mengajar dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

Dalam ramai-ramai guru yang di hantar ke kursus itu ada yang menjawab pertanyaan saya dengan lucu. Saya bertanya macam mana kamu hendak mengajar murid, jika ada soalan ‘dua tolak satu dalam matematik?’ Guru itu dengan selamba menjawab berjenaka, dua tolak satu dalam bahasa Inggeris ialah ‘two push one equals one’ (dua tolak satu jadi satu), walhal dalam bahasa Inggeris ia akan berbunyi ‘two minus one equals one’.

Menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik itu mengarut, kerana mengajar dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran yang ‘quantitative’ itu tidak akan menambah kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya bahasa Inggeris itu di jadikan salah satu bahasa yang wajib lulus dalam peperiksaan SPM atau UPSR.

Jika bahasa Inggeris secara khususnya di jadikan mata pelajaran dan di tambah pula dengan ‘English Literature’ ia akan menambah murid dan pelajar memahami bahasa Inggeris itu dengan betul dan tepat penggunaanya.

Patut juga di adakan bulan bahasa Inggeris dalam mana dalam bulan-bulan itu semua murid di kehendaki bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jika ini dilakukan nescaya tidak akan ada lagi guru yang mengajar muridnya, ‘two push one equals one’. Ia akan menjadi ‘two minus one equals one’, sebagai contohnya.

Tiada ulasan: