KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghentikan tindakan zalim kerajaan untuk mewajarkan membawa semula kewujudan tahanan tanpa bicara dalam usaha membendung peningkatan kadar jenayah.
Dalam kenyataannya hari ini, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut mengecam tindakan Zahid yang sengaja menakutkan rakyat melalui kebimbangan keselamatan akibat jenayah yang semakin tidak terkawal sebagai jalan untuk beliau memperkenalkan semula tahanan tanpa bicara di Malaysia.
“Pendirian kami mudah, kadar jenayah tinggi dalam negara tidak boleh diterima sama sekali dan jelas statistik polis yang amat mencurigakan serta dimanipulasi untuk menunjukkan kononnya kadar jenayah berada di tahap sederhana.
“Kami juga membantah usaha Zahid memanfaatkan rasa takut rakyat untuk membenarkan tahanan tanpa bicara yang zalim.
“Bercakap soal profesionalisme, kunci utamanya adalah dengan melakukan pembaharuan kecekapan dan organisasi polis serta penambahbaikan untuk memenangi peperangan membasmi jenayah,” katanya.
Beliau turut menggesa Zahid menghentikan permainan politiknya dan mencari jalan segera untuk menangani punca sebenar mengapa jenayah masih berada pada tahap amat membimbangkan.
Menurutnya, Zahid juga harus menerima kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan ‘polis perlu melatih diri untuk mencari bukti bukan sekadar menangkap suspek dan mengheret mereka ke tahanan Ordinan Darurat (EO)’.
“Laporan bercanggah Zahid dan data Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung jenayah sejak beberapa tahun kebelakangan ini memusnahkan kredibiliti pasukan polis,” ujarnya.
Katanya lagi, Zahid harus mengakui kesilapannya yang mendakwa jenayah meningkat dalam hujah beliau sebelum ini untuk membawa semula penahanan tanpa bicara melalui Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.
“Beliau mesti mengakui kesalahannya menyatakan jenayah semakin meningkat yang bermakna beliau sebenarnya dikelirukan Parlimen untuk tergesa-gesa meluluskan PCA atau menegaskan bahawa statistik polis sebenarnya adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.
Zahid semalam pada sidang media di Lobi Parlimen mendakwa jenayah secara keseluruhan semakin berkurangan sejak 2009, tetapi jenayah berat meningkat selepas EO dan Akta Kediaman Terhad (RRA) dihapuskan pada 2011. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan