ASPAN ALIAS
UMNO adalah parti tua.
Penyakitnya pun penyakit tua. Ramai ahli-ahli UMNO cuba mencari pemimpin-pemimpin muda
untuk meremajakan parti itu tetapi penyakit yang sering menghinggapi orang tua
juga di hinggapi pemimpin muda dalam parti itu. UMNO adalah parti yang tidak
mengikut arus perubahan zaman dan parti itu adalah sebuah parti kekampungan
yang tidak mampu berubah dalam semua hal walaupun niatnya hendak berubah itu
nyata dan jelas.
UMNO tidak tahu apa yang hendak
di ubahnya. UMNO tidak tahu lagi apa yang baik yang perlu di lakukannya dan
lebih sedih lagi mereka tidak tahu pun mana yang baik dan yang buruk. Mereka
menyangka yang apa yang Najib lakukan hari ini adalah pembaharuan tetapi
sebenarnya tindakan Najib itu sebenarnya tidak menunjukkan yang UMNO sudah mula
untuk berubah.
UMNO mentadbir kerajaan seperti
mentadbir persatuan bola takraw dan mengambil keputusan tanpa bersandar kepada
dasar-dasar tetap yang telah di gubal. Apabila di rasakan ada satu pihak atau
kumpulan marah dan tidak berpuas hati semasa itu kumpulan itu akan di berikan
hadiah dalam berbagai-bagai bentuk dan cara. Selalunya akan di berikannya wang
sogokan di atas berbagai-bagai nama.
Najib mentadbir negara seperti
mentadbir khairat kematian. Apabila mendengar seseorang meninggal dunia Najib
akan memberikan bantuan khairat kematian dengan jumlah yang kecil. Bantuan akan
hanya tiba jika ada kematian. Bantuan itu tidak akan mendatangkan kemajuan
kepada keluarga si mati selain dari menggunakan wang itu untuk membeli kain
kapan mayat dan biskut semasa kenduri tahlil sahaja.
Maksud saya banyak perbelanjaan
itu di buat dengan keputusan ad hoc tanpa pelan yang konkrit yang akhirnya
membawa negara ke kancah pembaziran yang tidak terkira jumlahnya. Sebelum
pilihanraya dahulu, tiba-tiba jururawat mendapat bayaran ‘one off’ sebanyak
RM100. Lepas itu kita melihat Najib memberikan bantuan kilat kepada sekolah
jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang memakan belanja berpuluh juta ringgitnya.
Kita bukan mempersoalkan jumlah
wang yang di berikan kepada sekolah Cina tetapi biarlah ia terancang dalam
pelan yang konkrit dan di rancang perbelanjaan itu dengan teratur dan tersusun.
Najib dan UMNO perlu ingat wang itu semuanya adalah wang rakyat bukannya wang
peribadi mereka. Pemberian bantuan itu mesti di rancang terlebih dahulu dan
jangan membantu secara adhoc kerana ia akan memudharatkan kewangan negara.
Baru-baru ini saya menyambut
beberapa rakan-rakan saya yang pulang dari mengerjakan rukun haji.
Mereka
keseluruhannya merungut kerana seramai 800 orang istimewa telah di bayar
oleh
kerajaan untuk mengerjakan rukun haji melalui IMDB. Mereka terdiri dari
ketua kampung, imam dan bilal dan ketua-ketua masyarakat di beberapa
buah kampung yang
selalunya adalah penyokong kuat kerajaan.
Tidak ada siapa yang marah jika
IMDB mendapatkan kuota Haji itu sendirian dari
Kerajaan Arab Saudi, tetapi kesemua bakal haji itu menggunakan kuota Tabung Haji yang banyak berkurangan
tahun ini. Najib tidak sedar yang ada lebih dari 70,000 orang Islam kita yang
sudah lanjut usianya masih belum dapat kesempatan untuk menunaikan ibadah Haji
itu, sedangkan mereka adalah di kalangan yang telah membuat simpanan sejak
puluhan tahun dahulu. Sempatkah mereka ini mendapat giliran untuk ke tanah suci
ini, sedangkan umur mereka semakin lanjut.
Saya mencadangkan supaya kumpulan
yang istimewa ini biarlah mendapatkan kuota
itu dengan istimewa. Jika masih hendak menggunakan kuota Tabung Haji mereka ini perlu mengikut
giliran dan utamakan mereka yang tua-tua yang telah lama menyimpan
berdikit-dikit sejak muda mereka.
Janganlah oleh kerana setengah
orang berada di koridor kuasa mereka mempunyai keistimewaan untuk melanggar dan
lompat giliran. Orang yang tidak menjadi ahli JKKK pun hendak menjadi tetamu
Allah juga. Bukannya orang kuat UMNO sahaja yang hendak mengerjakan ibadah haji
dan mencium batu hajarul aswad itu. Orang yang tidak ada dalam jawatankuasa
JKKK pun hendak juga merasa berada di Arafah dan berwukuf serta melontar semasa
tiga hari tasyrik itu.
Orang yang tidak menjadi ketua
kampung juga ingin bertawaf dan ber sai di antara Safar dan Marwah itu. Orang
yang tidak bilal juga mahu mengalami menziarahi Rasullullah saw di Medinah
kerana menziarah makam Rasul itu serupa menziarahi baginda semasa baginda masih
hidup. Hendak menziarahi Rasul juga mesti menjadi orang kuat JKKK dan UMNO.
Tuhan dan agama orang PAS, PKR
dan DAP Islam juga ialah Allah swt. Allah itu bukannya Tuhan orang UMNO sahaja.
DIA adalah Tuhan semesta alam, dan Tuhan kepada semua makhluk. Kita tahu yang
lautan dan desiran ombak itu adalah berzikir terhadap Allah. Pokok dan pohon semua
berzikir kepada Tuhan tanpa henti-henti. Hanya setengah umat manusia sahaja
yang tidak mahu lagi atau terlupa untuk berzikir terhadapNya. Agama itu hanya
tempelan politik mereka sahaja.
Jika segala tindakan kerajaan itu
tidak mengambil kira semua perkara negara tidak akan melihat satu pentadbiran
yang matang kerana pemimpin bertindak mengikut kemahuan dan syahwat politik
masing-masing.
Itu semuanya perkara kecil
sahaja. Belum lagi kita sentuh isu perpaduan kaum dan agama yang sedang dalam
keadaan yang sangat merbahaya dan menakutkan. Belum lagi menyentuh tentang isu
pembahagian kekayaan negara secara ‘equitable’ yang menjadi teras pembangunan
ekonomi negara dan rakyatnya. Kalau kita dengar cakap-cakap dan kenyataan pimpinan
negara seolah-olah perancangan mereka itu adalah terbaik tetapi rakyat tetap
tidak terurus dengan betul.
Pendeknya negara sedang di
pimpinan oleh apa yang di sebut sebagai ‘faked leaders’ yang tidak berapa faham
di mana hujung dan pangkalnya kaedah pentadbiran kerajaan yang benar-benar
berkemampuan untuk melaksanakan semua perancangan baik yang telah di gubal itu.
Perancangan tetap tinggal
perancangan tetapi semua perancangan selama ini terbantut di peringkat
perlaksanaannya kerana perlaksanaan semua perancangan itu di kotori dengan
perlakuan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin kita terutamanya
pemimpin utama negara kita.
Blog ini mengulangi, selagi tiada
tindakan berkorban dari mereka yang memimpin sekarang ini, tidak akan terjumpa
penyelesaian terhadap masalah negara ini. Kesemua pimpinan yang berada di dalam
UMNO itu wajar berundur dan berikan kuasa untuk seseorang atau kumpulan yang
lain yang tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah mengendalikan
proses perubahan itu.
Rakyat sudah terlalu lama
menunggu dan perubahan masih juga tidak nampak akan tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan