Khamis, 15 Ogos 2013

Siri 1:'The awakening': Peluang mentelaah sejarah pimpinan UMNO



Oleh Aspan Alias

Perihal ‘The awakening: Abdullah Badawi years in Malaysia’ yang diterbitkan oleh professor James UH Chin dan Bridget Welsh itu sudah mula membawa bahangnya dengan begitu ramai yang memberikan komen negatif terhadap Abdullah. Ia menjadi panas kerana buku itu dikeluarkan serta diterbitkan semasa perhimpunan agung UMNO yang sangat besar akan berlangsung tidak berapa lama lagi.

Ramai berpendapat penerbitan buku ini merupakan satu sau isu politik dalaman UMNO kerana ia dilancarkan semasa perhimpunan agung UMNO semakin hampir.


Sesungguhnya kita wajar mengetahui kenyataan yang buku ini bukanlah buku tulisan Abdullah Badawi tetapi buku yang diterbitkan oleh dua orang ahli akademik dan Abdullah hanyalah menjawab persoalan yang timbul semasa temu bual diantara editor penerbitan ini dengan Abdullah Badawi sahaja.

Tetapi isunya bukan siapa yang menulis dan hal siapa yang ditulis dalam buku itu. Isunya sekarang apa yang disebut oleh Abdullah dalam temubual yang di selitkan didalam buku tersebut. Dalam temubual itu Abdullah telah memberikan pandangan peribadi beliau tentang apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir terhadap beliau (Abdullah). Abdullah hanya menjawab bagaimana beliau dibenci dan tidak disukai oleh Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri, sebagai pengganti kepada Dr Mahathir yang telah ‘meraja’ selama 22 tahun di negara kita ini.

Yang sangat menarik, Abdullah telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan terhadap beliau dan memberikan pandangan beliau dengan nyata dan jelas tanpa ada halangan. Jika ada pihak yang menggunakan isu ini sebagai bahan perbahasan dalam menghadapi perhimpunan agung UMNO nanti, itu bukan hal bagi saya dan yang ‘sebalok’ dengan pandangan saya. Biarlah UMNO atau perwakilannya membahaskannya.

Bagi saya, yang penting ialah isu sebenar yang menjadikan pertelingkahan diantara Dr Mahathir dan Abdullah yang sangat serius seolah-olah dua orang pemimpin yang telah berputus arang sekarang ini. Bagaimana berpatah arang itu berlaku perlu diketahui umum kerana ia melibatkan ego dari satu pihak dan maruah bagi satu pihak yang lagi satu.
 
Mahathir kesal kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya sebagaimana Tun Hussein Onn yang kesal memilih Dr Mahathir sebagai pengganti beliau. Saya lebih berminat untuk memberikan olahan terhadap bagaimana Dr Mahathir begitu berkesan menjadi Timbalan lantikan Hussein Onn dan menyebabkan Hussein Onn terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO hasil dari ‘insubordination’ Dr Mahathir sendiri.

Yang lebih menarik lagi bagaimana setelah berjaya menurunkan Hussein Onn, Dr Mahathir telah berjaya menurunkan pengganti beliau sendiri, iaitu Abdullah Badawi setelah beliau meletakkan Abdullah sebagai penggantinya. Pendeknya Dr Mahathir dalam sejarah politik beliau hanya pandai menjatuhkan pemimpin termasuk yang telah memilih beliau dan yang menjadikan beliau sebagai pemimpin besar negara.

Perkara ini perlu difahami untuk mengetahui bagaimana Dr Mahathir berupaya dan berkesanggupan menjatuhkan pemimpin pilihan beliau sendiri. Tentunya Dr Mahathir mempunyai ‘kemahiran’ luar biasa kerana berjaya menjatuhkan orang yang menaikkan beliau dan menurunkan orang yang menjadi pilihan beliau sendiri. Itu sebabnya saya pernah memberikan anologi yang Dr Mahathir ini adalah seperti kelendan lori, boleh menaikkan barang kedalam lori dan menurunkan barangan yang dinaikkan oleh beliau apabila sampai ketempat dan waktu pilihan beliau.

Dalam masa beliau berkuasa beliau tidak mempunyai selera dan kemahuan untuk membina kepimpinan negara kerana beliau lebih tertumpu kepada memelihara kedudukan dan kemudahan beliau sendiri diatas ‘penyeksaan’ pihak yang lain. Beliau berbeza dengan Tun Abdul Razak yang telah membina dan mendidik ramai pemimpin yang berkualiti untuk negara bagi menerajui negara dalam jangka masa yang panjang.

Tetapi Dr Mahathir ingin menggunakan masa yang panjang itu untuk kegunaan dan kepentingan beliau sendiri. Justeru negara telah menghadapi ketandusan kepimpinan yang tidak mungkin dapat diselesaikan jika tidak ada kemahuan dari ahli-ahli UMNO untuk melakukannya. Jika ramai pun dikalangan ahli-ahli UMNO mahukan perubahan mereka tidak pun memahami apa yang hendak diubah. Budaya yang terbentuk dari zaman Dr Mahathir sehingga sekarang ini tidak memungkinkan UMNO itu mampu diubah dan di lakukan transformasi terhadapnya.

Jawapan Abdullah Badawi dalam temubualnya dengan penerbit dan editor buku ‘The awakening’ ini, memberikan peluang untuk sesiapa yang mahu tahu bagaimana perkara yang dilakukan terhadap Abdullah itu boleh berlaku. Bahkan bukan setakat itu sahaja, Ia juga boleh memberikan jawapan kenapa mereka yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin negara dijadikan pemimpin sehinggalah pemimpin yang ada pada hari ini.

Kalau diteliti dengan halus lagi kita akan mendapat jawapan bagaimana tanggungjawab diberikan kepada mereka yang tidak mahir ahlinya. Saya pernah menulis beberapa minggu lalu yang UMNO itu sudah hilang punca kepimpinannya sehinggakan mereka yang diberikan tanggungjawab besar itu adalah orang yang tidak berkemampuan. Saya memberikan anologi sebagai menempah songkok dari tukang kasut atau menempah kasut dari tukang songkok.

Apa yang berlaku terhadap Abdulah itu sebenarnya hanya lah sekelumit dari masalah yang Abdullah dan ramai yang lain menghadapinya. Untuk memahami dengan lebih terang elok kita mulakan mengikuti sedikit rentetan sejarah yang menyebabkan Dr Mahathir menjadi PM dan apa-apa yang terhasil dari beliau menjadi PM Yang paling lama dalam rantau ini.

Tidak salah jika saya katakan jika kita mengkritik Abdullah dan Najib, ia bermakna kita mengkritik Mahathir sendiri kerana kedua-duanya ini adalah pemimpin ciptaan Dr Mahathir. Tentunya apa-apa yang di cipta oleh penciptanya itu adalah taggungjawab penciptanya jika ada kesalahan dan kesilapan yang terhasil dari yang diciptanya itu.

Kita elok membuat sedikit rentetan dari waktu sebelum Dr Mahathir menjadi PM dahulu agar lebih mudah kita memahami kenapa perkara-perkara seperti yang di sebut oleh Abdullah itu berlaku dan kenapa ia berlaku kepada Abdullah.

DAN kita akan lebih memahami kenapa Najib sekarang seolah-olah akan menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh Abdullah dahulu.

Tiada ulasan: