Sabtu, 3 Ogos 2013

Petisyen pilihan raya: Mala petaka kepada sistem kehakiman negara

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi,


1). JUHAM amat terkejut dengan ‘trend’ penolakan majoriti Petisyen Pilihanraya oleh Mahkamah-Mahkamah Pilihanraya di seluruh Malaysia yang berasaskan alasan dan tafsiran undang-undang yang berbeza antara satu Mahkamah dan satu Mahkamah yang lain. JUHAM melihat ‘trend’ ini adalah suatu perkara yang amat berbahaya dan merupakan malapetaka kepada sistem kehakiman Malaysia.

2). Barisan Peguam JUHAM yang terlibat secara langsung dengan Petisyen Pilihanraya di seluruh negara rata-rata melahirkan rasa hairan dan terpinga-pinga dengan ‘trend’ ini, lebih-lebih lagi wujudnya pelbagai pandangan yang berbeza dan tiada konsistensi antara Hakim-Hakim Pilihan Raya sehingga menyebabkan ada Petisyen yang ditolak dan ada pula yang diteruskan dengan Perbicaraan walaupun alasan kepada Bantahan Awal terhadap Petisyen tersebut adalah alasan yang sama dan pernah diputuskan oleh Mahkamah-mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.

3)JUHAM melihat pendirian berbeza seperti ini memprejudiskan semua Pempetisyen kerana Pempetisyen bukan sahaja diprejudiskan hak beliau untuk mendapatkan hak sama-rata di sisi undang-undang akibat kekeliruan sebegini, malah Pempetisyen terpaksa menanggung kos yang tinggi setelah Petisyen itu ditolak. Apatah lagi, para Hakim Pilihan Raya seolah-olah telah bersepakat untuk meletakkan had minima bagi kos penolakan setiap Petisyen Pilihan Raya iaitu sekitar RM30,000.00 hinggalah RM150,000.00 yang mana merupakan satu jumlah yang tidak munasabah dalam sejarah perjalanan Petisyen Pilihanraya di Mahkamah Pilihanraya Malaysia.

4). JUHAM ingin memberikan beberapa contoh terhadap keputusan Mahkamah tersebut.Pertamanya, terdapat Petisyen yang ditolak begitu sahaja dengan alasan Petisyen tersebut tidak diserahkan oleh Pempetisyen sendiri kepada Responden. Keputusan ini jelas adalah tidak munasabah, lebih-lebih lagi isu penyerahan Petisyen ini telah lama diputuskan (precedent) oleh Mahkamah Pilihan Raya pada tahun-tahun sebelum ini. Sebagai contoh, YA Datuk Ramly (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah pun memutuskan di dalam kes Mohamad Sabu lwn Pegawai Pengurus Pilihan Raya [2007] 9 CLJ 26 bahawa penyampaian Petisyen boleh dibuat oleh Peguam atau ejennya kerana adalah tidak praktikal untuk menghendaki Pempetisyen menyampaikan sendiri Petisyen tersebut kepada Responden.

5). Keduanya, terdapat beberapa Hakim Pilihan Raya yang menolak Petisyen Pilihan Raya dengan alasan bahawa kegagalan Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengisi secara betul dan tepat Borang 14 ( Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) menurut peruntukan undang undang  telah diputuskan sebagai bukanlah suatu ketidakpatuhan (non-compliance) di sisi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Tafsiran undang-undang sebegini jelas adalah berbahaya kerana ia seolah-olah menghalalkan tindakan pihak SPR memanipulasikan Borang 14 yang merupakan tunjang kepada perkiraan jumlah undian di seluruh negara.

6). Pada hakikatnya, kesan daripada kegagalan KTM mengisi secara betul dan tepat Borang 14  tersebut menurut peruntukan undang-undang, secara tidak langsung bermakna KTM boleh menipu Borang 14 walaupun terdapat bantahan oleh ‘Counting Agent’  dibuat dan bantahan itu tidak diterima, tetap kesilapan itu tidak boleh dipetisyenkan. Maka, apa gunanya dan signifikannya peruntukkan undang-undang berkaitan pengisian Borang 14 tersebut oleh SPR?

7). Bagi JUHAM, satu kesimpulan boleh dibuat di sini bahawa, SPR dan ‘koncu-koncunya’ boleh terus menipu rakyat dengan mendakwa mereka mempunyai sistem pilihanraya yang telus, padahal penipuan boleh dibuat dan keputusan pilihanraya yang diasaskan atas penipuan akan diiktiraf secara rasmi sebagai satu keputusan yang sah.

8). Sebagai contoh sebagaimana yang berlaku kepada Parlimen Titiwangsa, di mana terdapat banyak Borang 14 yang merekodkan jumlah pengeluaran kertas undi yang berbeza dengan kertas undi yang dimasukkan di dalam peti undi. Jumlah perbezaan tersebut adalah melebihi bilangan undi majoriti yang diperolehi di pihak calon Barisan Nasional. Dalam tindakan Petisyen Pilihan Raya pada tahun sebelum-sebelum ini, rata-rata Mahkamah memutuskan bahawa sesuatu Petisyen Pilihan Raya yang menyentuh tentang ketidakpatuhan undang-undang hanya akan dilayan sekiranya ia melebihi keputusan undi majoriti dalam Parlimen/Dun terbabit.

9). Namun kini, apabila para Pempetisyen berjaya mengemukakan pelbagai bukti ketidakpatuhan terutamanya dalam isu Borang 14 tersebut yang menyentuh keputusan majoriti undian di Parlimen/Dun terbabit, rata-rata Hakim Pilihan Raya membuat tafsiran yang baru dengan menyatakan kegagalan Ketua Tempat Mengundi mengisi dengan betul Borang 14 bukanlah suatu ketidakpatuhan (non-compliance) di sisi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Malapetaka apakah ini? Dimanakah peranan ‘check and balance’ yang diharapkan oleh rakyat daripada institusi kehakiman terhadap perjalanan sesuatu proses Pilihanaraya?

10). Justeru, JUHAM bertegas bahawa Ketua Hakim Negara perlu mengambil tindakan dan perhatian yang jitu tentang perkara ini agar kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman tidak hancur sepenuhnya. Pihak Mahkamah mungkin boleh menyatakan semua Pempetisyen yang tidak berpuas hati tentang perkara ini boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Walau bagaimanapun, tidakkah pihak Mahkamah sedar bahawa tindakan rayuan seterusnya akan melibatkan kos yang lebih tinggi tatkala para Pempetisyen telah pun "dihukum" dengan kos sehingga puluhan ribu ringgit setelah Petisyen mereka ditolak?

11). JUHAM mengecam tindakan pihak Mahkamah yang mengenakan kos yang amat tinggi sebegini seolah-olah ingin menghukum rakyat kerana memfailkan Petisyen ini, sedangkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyalurkan ketidak-puasan hati mereka tentang kehancuran perjalanan Pilihan Raya yang lalu di korum yang sepatutnya iaitu di Mahkamah. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sendiri yang menempelak himpunan Blackout tempoh hari dengan menyatakan sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui Petisyen Pilihan Raya?

12). Namun, nampaknya rakyat kini tiada lagi alternatif lain dalam menyuarakan kepincangan perjalanan Pilihan Raya.Mahkamah seolah-olah ingin menghukum Pakatan Rakyat dalam pemfailan Petisyen ini, sedangkan tiada langsung Petisyen-petisyen yang difailkan itu difailkan oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, kesemua Petisyen tersebut rata-rata difailkan oleh pengundi berdaftar sendiri. Justeru, hukuman kos yang tinggi itu bukannya suatu hukuman kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya ia adalah hukuman kepada seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pengundi berdaftar. Adakah rakyat kini berada di satu peringkat bahawa ‘nobody gets justice. People only get good luck or bad luck’?

13). Malah, kos minimum yang dikenakan iaitu sebanyak RM 30,000.00 tersebut yang merupakan had minima untuk sesuatu pemfailan Notis Kebankrapan seolah-olah suatu indikasi bahawa Pempetisyen yang kalah akan dihukum bankrap oleh pihak yang menang. Ini bermaksud rakyat akan dihukum secara bertalu-talu tanpa belas kasihan. Sekali lagi JUHAM ingin ulangi, malapetaka apakah ini?

14). Akhirnya, JUHAM ingin menyeru kepada institusi Kehakiman Negara agar mengambil satu pendirian yang positif dan proaktif di dalam perkara ini agar segala kebobrokan di atas dapat diatasi dengan penuh berhemah selaras peranannya sebagai sebuah badan check and balance di Negara ini. Sekiranya kebobrokan ini berterusan, JUHAM khuatir institusi kehakiman mengundang malapetaka kepada diri mereka sendiri. Memetik kata-kata Martin Luther King, Jr. bahawa:- Law and order exist for the purpose of establishing justice and when they fail in this purpose they become the dangerously structured dams that block the flow of social progress”.

(*) Penulis ialah Pengarah JUHAM Dewan Pemuda Pas Pusat Malaysia.

Tiada ulasan: