Khamis, 1 Ogos 2013

Dari 60 negara Pasifik, hanya 12 sahaja yang terlibat dalam TPPA



Oleh Mohammad Agus Yusoff.

Pada sebelah pagi Khamis (1 Ogos 2013), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan hari terbuka di Matrade, Jalan Duta. Tujuannya satu: mendengar keluhan rakyat tentang TPPA dan memberi penerangan mengenainya. Ini adalah satu usaha Kementerian yang baik, tetapi setahu saya telah banyak penerangan seumpama itu diberikan, namun tidak satu pun penjelasannya yang menyakinkan.

Alih-alih apa yang kita dengar ialah Malaysia akan mendapat manfaat daripada TPPA ini kerana pasaran Malaysia akan lebih besar mengjangkau ke 793 juta orang orang di 60 negara Pasifik. Malaysia akan hebat kerana tidak lagi menjadi ‘jaguh kampung’, tetapi menjadi jaguh global. Barangan di Malaysia pula semuanya berkualiti kerana tidak banyak lagi barang tiruan yang dilambakkan di pasaran negara kita.

MITI juga cuba meyakinkan kita bahawa kita tidak akan berkompromi sekiranya perjanjian ini menggugat kedaulatan negara kita. Kita juga mempunyai pakar-pakar ekonomi dalam agensi kerajaan seperti UPE, Perbendaharaan dan Bank Negara untuk memantau keadaan ini.

Persoalannya, jikalah TPPA ini baik, mengapa dari 60 negara Pasifik, hanya 12 sahaja yang terlibat dalam perundingan ini? Jika pasaran terbuka luas untuk Malaysia, mengapa China dan Korea Selatan tidak turut sama menyertai perundingan ini? Jika kerajaan cuba menjustifikasikan kemasukan Jepun dalam perundingan ini sebagai bukti TPPA itu baik, saya kira itu merupakan analisis yang silap. Jepun telah lama maju sebagai ‘pedagang dunia’ sejak sebelum datangnya TPPA lagi. Jadi Jepun tidak perlukan TPPA untuk mengajar mereka tentang perdagangan dunia.

Kelemahan TPPA ini banyak. Kos kesihatan menjadi mahal, harga ubatan juga mahal kerana ubat generik disekat, undang-undang hak cipta akan menyekat kebebasan internet dan akses kepada maklumat, harga fotokopi dan buku untuk perpustakaan, sekolah, dan perniagaan, semuanya akan meningkat. Ini tentunya menyusahkan rakyat miskin kerana perlu membayar lebih untuk semua jenis produk. Bank asing, syarikat insurans dan peniaga wang akan mendapat lebih kuasa untuk mencabar undang-undang negara sekiranya undang-undang kita boleh memberi kesan kepada nilai pelaburan mereka dan banyak lagi lainnya.

Jika kita kata bahawa kita perlu TPPA untuk pasaran barangan kita, saya tidak nampak pula barangan kita banyak. Eksport kita banyak bergantung kepada petroleum dan minyak sawit sahaja, bukannya banyak barangan lain pun. Tetapi kalau eksport AS, memang banyak. Jadi, perlukah kita terus menjadi alat kepada AS ini?

Jika Malaysia masuk TPPA ini dan menjadi negara pasaran bebas, maka yang paling untung nantinya ialah Singapura. Ini kerana perdagangan Singapura ini jauh lebih cekap dan efisien dari negara kita. Saya ragu kita boleh bersaing dengan kehebatan Singapura dalam soal ini. Jika sebelum ini Singapura sukar untuk menceroboh masuk secara bebas dalam pasaran negara kita, tetapi dengan TPPA Singapura boleh masuk melalui pintu belakang TPPA ini. Sudah bersediakah kita?

Jadi, satu cara untuk menghilangkan keraguan rakyat tentang TPPA ini ialah kerajaan perlu dedahkan inti utama kandungan perundingan ini supaya rakyat tidak lagi mempunyai persepsi negatif. Ini kerana TPPA ini memberi kesan kepada kita semua. Dalam berhubung dengan kuasa besar, tulisan seorang pemerhati ini perlu diberi perhatian: “anything that is aggressively promoted by the super-power are not good for the non super-power. More often than not, it will benefit the super-power at the expense of non-super-power.”

Hari Khamis ini jika ada kesempatan, saya akan ke Matrade. Sebagai rakyat saya mahu tahu apakah langkah dan tindakan yang kerajaan akan ambil untuk perkara berikut:

i. Memastikan kos kesihatan dan kos ubat tidak naik.
ii. Memastikan harga buku dan kos pendidikan tidak naik.
iii. Memastikan peniaga IKS tidak terjejas?
iv. Memastikan kedaulatan negara kita tidak dicabar oleh syarikat
besar?

Secara peribadi saya melihat TPPA ini ada baiknya untuk negara. Kita perlu menyokongnya jika kerajaan dapat membuktikan telah mempunyai mekanisme untuk mengatasi kerisauan yang saya timbulkan di atas.

Sekiranya MITI tidak dapat memberikan jawapan yang menyakinkan, maka saya fikir kita mesti berhati-hai sebelum bertindak lebih jauh. Ini kerana jurang kehidupan antara rakyat kita masih luas. Jika kita bercakap soal untungnya kita dengan pasaran bebas, ingatlah bahawasanya apa yang kita mahu ialah FAIR trade bukannya FREE trade.

Tiada ulasan: