Jumaat, 28 Jun 2013

Semua jawatan tertinggi Umno terbuka untuk ditandingi, kata Ku Nan

THE MALAYSIAN INSIDER

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk ditandingi pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.

"Siapa sahaja yang mahu bertanding untuk jawatan tertinggi, daripada Majlis Tertinggi ke jawatan presiden, boleh mendaftarkan diri mereka sebagai calon," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kenyataannya itu menyusuli gesaan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin Umno yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar. Berdasarkan format baharu pemilihan, beliau berkata antara 148,000 dan 150,000 anggota Umno dari 199 bahagian akan mengundi calon yang berkenaan.


Mengenai mekanisme pengundian, Tengku Adnan berkata satu bahagian dikira sebagai satu undi.

"Sebagai contoh, jika (Perdana Menteri dan Presiden Umno) Datuk Seri Najib Tun Razak ada pencabar, mereka harus bertanding di semua bahagian kerana setiap bahagian merupakan satu undi (kepada calon yang menang), sekalipun setiap bahagian mempunyai jumlah perwakilan berbeza," katanya.

Katanya taklimat Umno mengenai format baharu itu akan diakhiri dengan Umno Sabah esok.

Ini merupakan kali pertama Umno menggunakan mekanisme baharu pada pemilihannya susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Sebelum ini hanya sejumlah perwakilan dibenar mengundi bagi memilih pemimpin parti itu.

Tiada ulasan: