Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Datuk Wan Ahmad Wan Omar
 
SHAH ALAM – Badan yang mengendalikan pilihan raya di negara ini sedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terdapatnya laporan membabitkan isu dakwat kekal.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak bimbang dengan siasatan itu sebaliknya percaya, ia dapat membersihkan imej SPR yang tercalar.

Menurutnya, SPR juga ingin mengetahui sekiranya ada perkara yang tidak betul dilakukan oleh badan berkanun tersebut khususnya dalam isu dakwat kekal yang menjadi perhatian umum.

“Bagus, kita akan bagi kerjasama kepada SPRM, SPR juga nak tahu mungkin ada apa-apa perkara tak betul berlaku yang kita tak tahu.

“Itu (penyiasatan) memang betul, ia akan membersihkan nama SPR.

“Kita tak mahu perkara tidak betul berlaku dalam SPR, kita ada tanggungjawab dan kredibiliti,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dipetik daripada satu portal berita, SPRM hari ini menyatakan telah menubuhkan pasukan untuk menyiasat kemelut dakwat kekal untuk melihat apakah terdapat pecah amanah dalam pembelian dakwat itu oleh SPR.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan tentang siasatan itu akan tetapi enggan mengulas  lanjut.

Bagaimanapun mengikut laporan portal berita berkenaan, difahamkan pasukan itu telah ditubuhkan minggu lepas ekoran  terdapat rungutan umum berkenaan dengan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum 5 Mei.

Dalam pada itu, Wan Ahmad menyatakan SPR belum mendapat sebarang surat atau pemberitahuan daripada pihak SPRM untuk melakukan siasatan terhadap badan berkanun tersebut.

“Belum lagi setakat ini, saya pun tidak tahu semua perkara,  saya belum terima apa-apa maklumat.

“Bagaimanapun jika benar kita akan beri kerjasama,” katanya lagi.