Azuan Ab Rahman
KUCHING : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu
memanggil Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk disoal siasat berhubung kes
rasuah dihadapinya dan bukan hanya sekadar menyiasat dokumen, kata Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Sarawak, Ahmad Nazib Johari.
Beliau
mengulas kenyataan Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan SPRM, Lim Bee
Kean bahawa kes itu berpanjangan ekoran jumlah dokumen dan saksi yang
banyak untuk diteliti pasukan penyiasat.
“Saya desak SPRM panggil Taib Mahmud untuk disiasat. Beliau adalah
saksi utama. Kita tidak hanya mahu fail-fail yang disiasat, tetapi yang
paling penting adalah Taib Mahmud sendiri,”
“Apakah negara ini guna dua jenis undang-undang? Jika kes melibatkan
rakyat biasa, tidak sampai seminggu sudah dipanggil SPRM, tetapi apakah
SPRM berani memanggil Taib Mahmud ?” katanya ketika dihubungi Suara
keadilan.
Katanya, beliau sendiri telah membuat banyak laporan terhadap Ketua
Menteri Sarawak itu sejak 2010, namun tiada jawapan memuaskan dari SPRM.
“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih. Hingga ke
hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara
sebenar dari pengetahuan rakyat,” kata Nazib.
Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Lim Bee Kean bahawa
siasatan itu berpanjangan kerana banyak dokumen dan saksi yang terlibat
untuk diteliti.
Siasatan itu dipercayai merujuk skandal rasuah membabitkan ketua
menteri paling lama di Malaysia itu termasuk pendedahan video Global
Witness tentang pengakuan saudara Taib yang memperoleh tanah dengan cara
mudah di Sarawak.
Bercakap di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini, Bee
Kean berkata SPRM meneliti 400 fail dan kenyataan dirakamkan daripada
lebih 20 individu yang dipercayai berkaitan kes itu.
Menurut suruhanjaya itu, soal Taib tidak bekerjasama tidak timbul
kerana beliau sendiri menafikan pernah menyifatkan SPRM ‘nakal dan tidak
jujur’ serta enggan bekerjasama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan