THE MALAYSIAN INSIDER
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
hari ini berkata semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk
ditandingi pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.
"Siapa sahaja yang mahu bertanding untuk jawatan tertinggi, daripada
Majlis Tertinggi ke jawatan presiden, boleh mendaftarkan diri mereka
sebagai calon," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan
Rakyat semalam.
Kenyataannya itu menyusuli gesaan beberapa pemimpin dan bekas
pemimpin Umno yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak
dicabar. Berdasarkan format baharu pemilihan, beliau berkata antara
148,000 dan 150,000 anggota Umno dari 199 bahagian akan mengundi calon
yang berkenaan.
Mengenai mekanisme pengundian, Tengku Adnan berkata satu bahagian dikira sebagai satu undi.
"Sebagai contoh, jika (Perdana Menteri dan Presiden Umno) Datuk Seri
Najib Tun Razak ada pencabar, mereka harus bertanding di semua bahagian
kerana setiap bahagian merupakan satu undi (kepada calon yang menang),
sekalipun setiap bahagian mempunyai jumlah perwakilan berbeza,"
katanya.
Katanya taklimat Umno mengenai format baharu itu akan diakhiri dengan Umno Sabah esok.
Ini merupakan kali pertama Umno menggunakan mekanisme baharu pada pemilihannya susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Sebelum ini hanya sejumlah perwakilan dibenar mengundi bagi memilih pemimpin parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.