TH Plantations dalam kenyataan di sini hari ini, berkata perkara itu disahkan pegawai Kementerian Lingkungan Hidup dan Kepolisian Indonesia serta pihak berkuasa tempatan yang melawat ladang yang dimiliki menerusi PT TH Indo Plantations (PTTHIP), terutama di 'kawasan panas' pada imej satelit.
"Kawasan panas yang dikesan satelit itu sebenarnya berada dalam kawasan tanah milik penduduk setempat dan bersebelahan dengan ladang PTTHIP yang sememangnya memantau kejadian pembakaran terbuka," kata kenyataan itu.
Penemuan itu menyokong pemantauan awal syarikat bahawa pembakaran terbuka mungkin berlaku di ladang bersebelahan yang diusahakan masyarakat setempat.
PTTHIP yang sebelum ini dikenali PT Multi Gambut Industri, dilapor sebagai antara lapan syarikat perladangan Malaysia yang dikatakan penyumbang dalam kejadian jerebu sekarang.
Tabung Haji Plantations juga menegaskan syarikat itu dan anak syarikat dalam kumpulannya tidak terbabit dalam pembakaran terbuka.
Katanya syarikat itu sentiasa mematuhi dasar ketat sifar pembakaran yang ditetapkan Malaysia dan Indonesia serta memberi penekanan kepada pematuhan dasar dan amalan yang mesra alam sekitar untuk seluruh operasinya.
Kenyataan itu juga menyebut semua ladang PTTHIP di Riau, Indonesia sudah pada peringkat matang, justeru kerja pembangunan tanah dan tanam semula yang dijalankan adalah terlalu sedikit. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan