Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat
sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati
prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya
perlantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang
yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti
pemerintah sahaja.
"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu
kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada
24 Jun nanti.
"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu
seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap
Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang
media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.
Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot
angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker
ke-13.
"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker,
kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai
integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.
Sesi taklimat
pertama ahli-ahli Parlimen pada 11 Jun menyaksikan kehadiran 111 anggota
Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang
wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada
89 keseluruhan ahli Parlimen PR.
Er telah dikenakan tindakan oleh partinya DAP kerana ingkar terhadap notis supaya memboikot taklimat tersebut.
Majlis
Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada
mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan
Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.
Sebaik
sahaja pilihan raya 5 Mei berakhir, pemimpin pembangkang telah membuat
beberapa siri pendedahan yang didakwa sebagai penipuan sebagai tekanan
daripada pembangkang untuk Putrajaya melakukan reformasi pilihan raya,
bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketiga-tiga
parti PR juga mengesahkan untuk memfailkan 41 petisyen pilihan raya —
tiga oleh DAP, 20 oleh PKR dan 18 oleh PAS — sebelum tarikh akhir 12
Jun.
Akan tetapi selain daripada petisyen di mahkamah, PR dan
kumpulan masyarakat sivil lain telah menganjurkan perhimpunan
besar-besaran selepas 5 Mei untuk mendesak agenda reformasi, meletakkan
tiga syarat utama dengan pertama mensyaratkan peletakkan jawatan semua
anggota SPR kerana kegagalan untuk memastikan Pilihan Raya 2013 bebas
dan adil.
Perhimpunan “Black 505” seperti yang digelar, juga
dikhaskan sebagai gerakan untuk membantah kecurangan seperti didakwa PR
semasa pilihan raya, menyaksikan BN terus berkuasa walaupun kehilangan
undi popular.
Pada 22 Jun, PR akan berhimpun di Padang Merbok untuk meneruskan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya 2013. - 19 Jun, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan