Selasa, 21 Mei 2013

Waythamoorthy tidak ikhlas perjuangkan komuniti India, kata MIC

THE MALAYSIAN INIDER

KUALA LUMPUR— Kenyataan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy bahawa beliau akan bekerja keras untuk komuniti India dan bukannya MIC menunjukkan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu tidak ikhlas untuk memperjuangkan hak kaum berkenaan sebaliknya hanya sekadar “membangga diri”.

“Beliau seolah-olah berniat menjadikan MIC sebagai pesaing dan komuniti India sebagai 'hadiah yang dimenanginya',” kata bendahari Agung MIC, Datuk Jaspal Singh dalam kenyataannya hari ini.

“MIC telah menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan beliau kerana beliau dipilih Perdana Menteri datuk Seri Najib Razak, namun perdana menteri sudah tentu tidak menjangkakan sikap seperti itu yang ditunjukkannya,” kata Jaspal lagi.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam menghormati keputusan Perdana Menteri melantik Waythamoorthy (gambar) sebagai timbalan menteri walaupun sebelum ini mempunyai pandangan berbeza.

Beliau juga dilaporkan berkata menyeru masyarakat India, termasuk anggota MIC supaya menerima pemimpin Hindraf berkenaan dengan pelantikan tersebut.

Waythamoorthy, jelas Jaspal, yang dahulunya ''hilang'' kini kembali dengan idea “blueprint” untuk masyarakat India.

“Apa istimewanya rancangan tersebut? MIC telah membawa isu ini kepada kerajaan dengan pelbagai cara.

“Jelas Waythamoorthy gunakan Hindraf sebagai platform untuk berunding kedudukan untuk dirinya sendiri walaupun mengkhianati ahli keluarga sendiri,” kata Jaspal lagi, dan menambah pemimpin Hindraf itu sudah pasti akan kehilangan penyoko0ngnya sebaik sahaja menyertai kerajaan.

Tegas Jaspal, Hindraf adalah sebuah badan NGO dan mereka boleh menjadi mesra kerajaan, menjadi pemerhati yang memberikan input yang positif untuk kebaikan masyarakat India.

“Sebaik sahaja Waythamoorthy menjadi sebahagian daripada kerajaan, Hindraf menjadi lemah dan akhirnya sokongan akan berkurangan.”

Waythamoorthy sebelum ini dipetik laporan media berkata Hindraf akan mengambil alih jawatankuasa kabinet khas, di Jabatan Perdana Menteri, untuk masyarakat India dan tidak akan bekerjasama dengan MIC.
Anak kelahiran Kelantan itu merupakan pemimpin masyarakat India dari badan bukan kerajaan yang pertama dilantik sebagai timbalan menteri.

Pada 18 April lepas, Hindraf dan BN memeterai memorandum persefahaman (MoU) merangkumi enam perkara utama dengan tujuan membawa masyarakat India yang miskin ke arus perdana pembangunan negara.

Tiada ulasan: