Saya menyebut dalam posting saya
yang lepas yang kita telah banyak belajar dalam pilihanraya ke 13 yang baru
lepas ini. Satu lagi isu ialah isu rasis dan tuduh menuduh di antara BN dan
Pakatan terutamanya DAP. UMNO kata DAP rasis dan DAP pula menuduh UMNO itu
rasis. Bagi saya ini adalah isu pasca pilihanraya kerana sekarang timbul isu
penipuan yang dilakukan oleh BN dalam PRU yang lepas. Isu perkauman
menjadi-jadi selepas PRU ini masing-masing pihak menuduh di antara satu dengan
lain sebagai parti rasis.
Apa yang saya belajar sejak
setahun dua yang lalu sehingga saat ini saya sudah tidak mempercayai lagi isu
rasis ini akan selesai dengan mudah kerana isu itu adalah alat mainan politik
kedua-dua belah pihak. Selagi ada penawaran untuk mentadbir negara setiap lima tahun sekali isu
rasis ini akan tetap timbul kerana tiada kejujuran masing-masing untuk
membinasakan isu rasis buat selama-lamanya.
UMNO, MCA dan MIC dikatakan rasis
kerana kewujudan parti-parti itu berdasarkan kepada bangsa masing-masing. Jika
dikumpulkan ketiga-tiga parti ini sebagai satu gagasan iaitu BN tadi, maka BN
juga adalah sebuah parti yang formal kewujudannya sebagai ‘multiracial’. BN itu
pendeknya adalah multiracial.
Pakatan Rakyat tidak pernah
terdaftar sebagai satu parti dan DAP, PAS dan PKR itu berdiri di atas identiti
masing-masing. DAP itu dikatakan sebuah parti ‘multiracial’ kerana perlembagaannya
membolehkan bangsa lain termasuk orang Melayu sendiri seperti saya menyertai parti
itu. Jika dibandingkan di antara BN dan DAP, ‘apple to apple’, BN adalah lebih ‘multiracial’.
Di sebaliknya DAP hanya mempunyai peruntukan dalam perlembagaannya yang
membolehkan setiap bangsa menyertai parti itu tetapi parti itu menampilkan
sifat parti yang jauh daripada parti ‘multiracial’.
Pada praktisnya, DAP dikuasai oleh
kaum Cina dan seorang dua Melayu di dalamnya sudah menjadi persepsi ramai
sebagai ‘window dressing’ dan dalam politik itu merupakan perkara biasa. Hanya
apabila seseorang itu membuat penilaian politik dan akademiknya sahaja yang
tahu hakikat yang sebenarnya. Peruntukan perlembagaan dengan keadaan sebenarnya
adalah berbeza dan lama kelamaan rakyat akan dapat menghidunya.
Tetapi itu bukanlah satu
kesalahan DAP. Jika DAP bergiat untuk menjadi parti ‘multiracial’ dan dikuasai
kaum Cina itu adalah haknya untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi sebelum
pilihanraya yang baru lepas ini. Situasi semasa itu seolah-olah Pakatan Rakyat
akan mendapat kemenangan besar dan akan berkuasa. Maka DAP terlupa yang mereka
adalah parti ‘multiracial’ kerana keseronokan menunggu mendapat kuasa buat
pertama kalinya.
Tetapi hanya satu perkara yang
perlu diperbaiki dalam parti ini iaitu, jangan buat ‘preaching’ bahawa parti
itu multiracial tetapi hakikatnya keadaan ‘multiracial’ itu tidak wujud. Jika
ia wujud pun hanyalah sekelumit sahaja. Oleh kerana masing-masing masih mahukan
kekuatan kewujudan mereka berdasarkan kepada kaum tidak ada siapa yang boleh
berbuat apa-apa. Buatlah apa yang masing-masing hendak lakukan.
Pendeknya di antara kita semua ini
jangan lagi bermain dengan isu rasis ini kerana nampaknya kedua-dua belah pihak
masih rasis jika dipandang dari sudut yang berlainan. Bagi saya hanya PAS
sahaja yang tidak pernah menyebut tentang isu rasis kerana parti itu hanya
mengutamakan isu Islam dalam perjuangannya yang tidak mengira kaum dan cara
hidup masing-masing. PAS juga telah menurunkan beberapa orang calon dari agama
lain baru-baru ini bagi membuktikan bahawa Islam itu adalah agama yang memimpin
semua pihak, samada dari segi bangsa dan agama.
Tujuan saya menulis isu ini ialah
untuk meminta semua jangan menuduh di antara satu dengan lain sebagai rasis,
kerana pada hakikatnya semuanya ada isu rasis. Yang membezakannya hanyalah dari
sudut mana kita melihatnya.
BN dan DAP, jika kita nilai
‘apple to apple’ BN secara ‘relative’nya lebih ‘multiracial’ sedangkan DAP
walaupun perlembagaannya adalah ‘multiracial’, penampilannya masih rasis. DAP
mempunyai lebih dari 90 ADUN dan 38 ahli parlimen yang menang, muka Melayu
tidak sampai pun empat orang.
Oleh kerana kedua-dua belah pihak
masih bermain dengan isu rasis, saya menyarankan agar semua pihak memberhentikannya.
Kita terima yang sentimen perkauman itu tetap wujud malahan lebih menebal
sekarang ini. Justeru itu tidak usah masing-masing memainkan isu ini dan
menuduh di antara satu dengan lain sebagai rasis. Masing-masing tidak serius untuk
membenamkan isu rasis ini. Sentimen perkauman itu akan kekal sehingga wujud
seorang pemimpin yang mempunyai ‘magnanimity’ yang sebenarnya memimpin negara
kita.
Masanya akan tiba untuk membahaskan
isu ini dan apabila sampai masanya itu, saya ingin menyertai perbahasan itu
secara aktif, insyallah. Jika diuruskan dengan baik kita berharap media massa akan memberikan
liputan yang penuh adil dan saksama.
Setakat ini belum ada pihak dan
parti yang jujur dengan secukupnya untuk melenyapkan isu rasis ini sedangkan
perpaduan dan kesatuan semua kaum itu adalah perkara besar dan perlu dikendalikan
dengan jujur agar keharmonian di antara kaum di negara ini tidak terjejas.
Meanwhile, let us not mislead and
insult ourselves on this issue.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan