Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sedih dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dianggap cuba lari daripada prinsipnya apabila lebih berminat membela kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai kenyataan peribadi.
Katanya, kenyataan Ahmad Zahid supaya pengkritik Pilihan Rayan Umum ke-13 meninggalkan negara dianggap Khairy sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kenyataan Ahmad Zahid itu sama dengan kenyataan seorang Menteri UMNO pada awal tahun 1970an ketika mencelah satu ucapan saya di Parlimen yang memberitahu sekiranya saya tidak suka dengan dasar kerajaan UMNO/BN, saya boleh tinggalkan negara.
“Saya pantas bertindak balas dengan menyatakan saya bercakap bagi pihak rakyat Malaysia di Parlimen, sekiranya dia tidak suka dengan apa yang saya katakan, dia juga boleh tinggalkan negara dan sejak itu tidak ada lagi Ahli Parlimen atau Menteri UMNO mengulangi tindakan sedemikian terhadap saya di Parlimen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, jika Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO/BN lain yang tidak suka rakyat Malaysia menuntut perubahan untuk sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, mereka juga sepatutnya meninggalkan Malaysia.
“Apa yang perlu diberi perhatian adalah keangkuhan dan penghinaan terhadap pandangan awam oleh seorang Menteri di dalam kerajaan yang legitimasinya sendiri diragui buat pertama kalinya di dalam sejarah negara.
“Apabila legitimasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang hanya memperoleh 47% daripada undi popular berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, yang memenangi 51% undi popular, dipertikaikan, maka legitimasi Kabinetnya yang mengangkat sumpah semalam tentu turut dipertikaikan,” tambahnya.
Beliau berkata, dalam keadaan legitimasi mereka diragui, menteri sepatutnya lebih merendah diri, mudah didekati dan sensitif terhadap kehendak rakyat Malaysia, bukannya angkuh dan menghina pandangan awam seperti yang kenyataan Ahmad Zahid, seorang menteri lama dalam Kabinet Najib selepas PRU13.
Katanya, Ahmad Zahid layak menerima kutukan di atas keangkuhannya, yang jelas berbeza dengan dasar 1Malaysia dan “Rakyat Didahulukan” kerana tindakan Ahmad Zahid itu bertentangan dengan lima dekad pembinaan bangsa majmuk Malaysia.
“Apabila Parlimen bersidang pada pertengahan Jun ini, saya akan mengusulkan kutukan terhadap Ahmad Zahid terhadap kenyataannya yang angkuh dan menjengkelkan yang menyuruh rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan keputusan PRU-13 meninggalkan negara.
“Saya juga menjemput Ahl Parlimen yang mahu menyertai saya bersama-sama menaja usul terhadap Ahmad Zahid dengan mengemelkan persetujuan mereka (ke limkitsiang@gmail.com) supaya mengutuk dan mengumpul tandatangan paling banyak dalam sejarah Parlimen dapat dihantar sebaik saja notis Parlimen untuk sidang pertama Parlimen ke-13 dikeluarkan,” katanya.
Menurut Kit Siang, beliau juga menjemput mereka mencadangkan draf usul kutukan terhadap Ahmad Zahid, yang akan diletak di ruang awam bagi menjemput orang awam memberi pandangan dan maklumbalas.
Beliau juga mengalu-alukan Ahli Parlimen BN yang berprinsip dan berani untuk bersama menaja usul terhadap Ahmad Zahid, kerana sentiment buruk yang diluahkan Menteri Dalam Negeri itu mesti dikutuk semua Ahli Parlimen dan semua warga, tidak kira mana-mana parti.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan