Rabu, 8 Mei 2013

Rumit sekiranya MCA tidak wakili kaum Cina dalam kerajaan, kata Dr M

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA— Kaum Cina tidak harus dipinggirkan dalam kerajaan, kerana pada hakikatnya terdapat masyarakat Cina yang menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Beliau berkata sekiranya tiada menteri Cina dalam Kabinet, dengan itu siapa yang akan mewakili masyarakat itu.

“Adalah sesuatu yang rumit untuk melantik seseorang (wakil) bukan daripada MCA, tetapi sekiranya tiada wakil kaum Cina, keadaannya tidak baik untuk kerajaan dan juga negara,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Pemimpin veteran itu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MCA untuk tidak memegang sebarang jawatan peringkat negeri atau persekutuan selepas mencatatkan prestasi lebih teruk pada PRU13 Ahad lepas berbanding pada 2008.

Ditanya sama ada parti pembangkang DAP patut dipelawa oleh kerajaan BN dan diberi peluang mewakili kaum Cina, Dr Mahathir berkata semua itu terserah kepada BN.

“Ini bergantung kepada kaum Cina (DAP) jika mereka mahu ambil bahagian atau tidak, tetapi saya agak pasti yang DAP tidak akan mahu turut serta kecuali mereka berada dalam kedudukan dominan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menghargai peranan Sabah dan Sarawak dalam PRU13 dalam menyumbangkan kerusi untuk BN, dan melahirkan harapan yang mereka akan diwakili lebih baik dalam kerajaan di masa depan.

“Pada ketika ini mereka masih percaya dalam prinsip kerjasama yang mereka telah buktikan, walaupun mengecewakan bahawa kaum Cina telah menolaknya, tetapi terdapat bukan Cina yang mencukupi di sana untuk memenangi kerusi-kerusi,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NG) tertentu yang mahu PAS menyertai Umno demi masa depan orang Melayu dan orang Islam, Dr Mahathir berkata kerjasama itu bukan perkara mustahil.

“Saya tidak tahu sama ada ia adalah yang terbaik atau tidak, tetapi yang jelas perlu ada “tolak ansur, Umno tidak boleh mendesak mengikut caranya dan begitu juga dengan PAS, perlu ada penyesuaian, jika penyesuaian dapat dibuat, dengan itu akan ada ruang bagi kerjasama,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: