Jumaat, 17 Mei 2013

Politik Harapan lawan Politik Ketakutan




Oleh RAYUSA 

DARI segi negatif, memang keputusan PRU13, 5 Mei lalu amat menyedih, mengecewa serta
mengejutkan pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokongnya. Bayangkan, di tengah-tengah mood kemarahan rakyat membuak-buak terhadap kerajaan BN, rejim itu masih gagal ditumbangkan.

Kesedihan amat dirasai apabila kerajaan PAS Kedah tumbang; Perak gagal dirampas semula; beberapa negeri sasaran gagal ditawan; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tewas di Parlimen Pendang; serta dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Dato’ Husam Musa turut kecundang, masing-masing di Parlimen Pulai dan Putrajaya.

Kekecewaan terpaksa ditelan kerana Dato’ Seri Najib Razak mendapat mandat pertama sebagai Perdana Menteri; Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih menguasai Parlimen Putrajaya; dan Tan Sri Isa Samad kembali ke Dewan Rakyat.

Kejutan turut menekan jiwa kerana kalimat “Ini kalilah” belum berjaya di Sabah, sehingga ramai memperolokkannya menjadi “Lain kalilah!”

Namun, jika direnung dari segi positif, keputusan PRU13 sebenarnya adalah “tsunami politik” kedua. Ada banyak contoh yang boleh mengubati kesedihan dan kekecewaan. serta membakar semangat untuk berjuang memenangi PRU14.

Walaupun kehilangan Kedah, Pakatan berjaya sekali lagi menafikan penguasaan dua pertiga BN di Parlimen. Jika pada PRU12, BN memiliki 140 kerusi, pada PRU13, BN kehilangan tujuh kerusi. Ertinya, prestasi Najib lebih buruk daripada prestasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pakatan berjaya menambah jumlah kerusi dari 82 kepada 89, dan bilangan kerusi Dun dari 197 kepada 230. Kejayaan Pakatan besar maknanya kerana jutaan ringgit dibelanjakan BN untuk makan malam percuma, hadiah dan menyebarkan pembohongan dalam media utama, khususnya politik jijik dan tercela lantaran takut kalah.

Di seluruh negara, Pakatan berjaya memenangi kerusi di kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat BN dan menewaskan ramai tokoh BN di kawasan majoriti Melayu. Selain kejayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Permatang Pauh, kemenangan Nurul Izzah sekali lagi di Lembah Pantai amat manis.

Kejayaan anak sulung Anwar itu “menutup mulut” pencabarnya, Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Kegembiraan juga dikecapi apabila Lim Kit Siang berjaya menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Dato A Ghani Othman dengan majoriti 14,762 di Gelang Patah.

Sebagaimana Ghani, kerjaya politik Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga bakal berakhir apabila tewas di Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi juga bakal tampil di Dewan Rakyat selepas menewaskan Dato’ Saifuddin Abdullah dengan majoriti 1.070 undi di Temerloh.

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli menang di Pandan dengan majoriti 26,729 mengatasi Lim Chin Yee (BN-MCA), dan Tan Yew Leng (Bebas).

Kerjaya politik Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali mungkin berakhir apabila beliau tewas kepada calon Pakatan dari PAS, Nik Mohamad Abduh (anak Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat) di Parlimen Pasir Mas dengan majoriti 8,047 undi.

Lebih menggembirakan, Naib Presiden Perkasa, Datoí Zulkifli Nordin yang belot, tewas dengan majoriti 10,939 undi kepada Khalid Samad. Tambah manis, Pakatan berjaya mempertahankan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dengan majoriti lebih dua pertiga. Pulau Pinang memperoleh 30 kerusi berbanding BN yang hanya mendapat 10 kerusi. Selangor menguasai 44 kerusi (BN, 12), dan Kelantan memenangi 33 kerusi (BN, 12).

Cukup bermakna, empat bekas menteri dan tiga bekas timbalan menteri kabinet tewas. Bekas menteri yang kecundang ialah Dato’ Seri Kong Cho Ha (Pengangkutan) di Lumut, Dato’ Seri Chor Chee Heung (Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Alor Setar), Tan Sri Benard Giluk Dompok (Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di Penampang), dan Raja Nong Chik (Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar). Bekas timbalan menteri yang kalah ialah Dato’ Puad Zarkashi, Dato’ Lee Chee Leong, dan Saifuddin.

MCA hanya mendapat enam kerusi Parlimen (berbanding 15 pada PRU13), sementara Gerakan cuma menduduki satu (berbanding dua), iaitu di Simpang Renggam, Johor, yang dipertahankan Liang Teck Meng.

Keseluruhannya, DAP memperoleh 38 kerusi (penambahan 10); KeADILan, 30; dan PAS, 21. Terdapat tujuh kerusi tambahan yang dimenangi Pakatan dari Sabah (dua) dan Sarawak (lima).

Parti Progresif Penduduk (PPP) kecundang di semua kerusi, iaitu satu Parlimen dan empat Dun. Selain gagal menyingkirkan calon Pakatan (DAP), Dr Tan Seng Giaw bagi Parlimen Kepong, ia juga kalah di kerusi Dun Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak), dan Guchil (Kelantan).

BN juga tidak mempunyai dua pertiga majoriti di Perak, Terengganu, Kedah, dan Negeri Sembilan (Perak - BN, 31, Pakatan, 28; Terengganu - BN, 17, Pakatan, 15; Kedah - BN, 21, Pakatan 15 dan Negeri Sembilan - BN, 22, Pakatan, 14).

Kelima-lima pegawai Najib kalah. Dua di tangan calon PAS. Dato’ Shahlan Ismail tewas kepada Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar di Parlimen Pokok Sena, sementara Dato’ Latt Shariman Abdullah kalah kepada Mohd Nasir Mustafa di Dun Kubang Rotan.

Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan, Dato’ Mohd Shafei Abdullah tewas kepada Dato’ Dr Tan Kee Kwong (KeADILan) dengan majoriti lebih besar. Dua lagi yang tewas di kerusi Parlimen ialah Dato’ Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Bharu dan Dato Mohamed Suffian Awang di Kuantan.

PAS juga berjaya mencapai kejayaan sulung di Melaka melalui Dr Khalid Kassim di Dun Bukit Baru. Selain itu, di Parlimen Sepang, calon PAS berjaya menewaskan penyelaras BN Selangor, Dato’ Ir Mohd Zin Mohammed.

Menurut Kit Siang, Pakatan berkempen berdasarkan “Politik Harapan” berbanding BN yang meneruskan “Politik Ketakutan.” Beliau yakin analisis lanjut akan menunjukkan terdapat anjakan besar dalam sokongan pengundi semua kaum terhadap Pakatan di seluruh negara. Baginya, BN kini berada di akhir hayat sebagai kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan: